Nissan Skyline GT-R R34 V Spec II Nur merupakan salah sebuah daripada model edisi terhad yang dihasilkan, dan nama 'Nur' merujuk kepada Litar Nurburgring, bukannya nama melayu Nur Nilam Sari atau Nur Kasih.
Sebanyak 718 unit sahaja dihasilkan oleh Nissan dan antara perubahan yang dibawakan pada model V Spec II Nur ini termasuklah unit pengecas turbo yang lebih besar, kadar boost yang dinaiktaraf, dan dengan angka output sekitar 276 kuasa kuda kuda sahaja berdasarkan perjanjian lelaki sejati oleh pengeluar Jepun pada ketika itu.
Namun, angka sebenar yang mampu dihasilkan daripada enjin enam silinder sebaris RB26DETT itu dipercayai mampu mencapai 330 kuasa kuda ketika ia keluar dari barisan produksi.
Salah sebuah daripada 718 unit V Spec II Nur yang dihasilkan dipaparkan di dalam artikel ini, di mana ia secara kasarnya merupakan sebuah GT-R R34 serba baharu dengan angka perbatuan sekitar 360 kilometer sahaja!
Malah, jika dilihat menerusi gambar yang dibekalkan, plastik pelindung tempat duduk juga masih belum dibuka, dan menurut pihak penjual, kereta ini masih lagi memiliki bau kedai!
Berdasarkan pengamatan, pemilik asal R34 GT-R ini nampaknya tidak banyak melakukan perubahan terhadap jentera ini, dan ia sekaligus menjadikan harga jualan yang diminta mencecah $485,000 (RM2 juta).
Hanya yang berani dan arif tentang model ini sahaja layak untuk mendapatkannya menerusi laman web JDM Expo.
Kami ucapkan, selamat maju jaya kepada pemilik baharu!
Sumber: JDM Expo