Selepas Xpander-Livina, Nissan dan Mitsubishi pada pertengahan Mac lalu memperkenalkan model kedua kerjasama iaitu Dayz dan eK Wagon.
Pengenalan tersebut kini rasmi apabila Nissan mengumumkan penjualan Dayz kepada pengguna di Jepun bermula 28 Mac 2019.
Dayz berada dalam segmen kereta mini (kei-car) yang popular di Jepun dan ia juga merupakan model pertama dilengkapi teknologi separa autonomi ProPILOT dalam segmen tersebut.
Sebelum generasi baharu ini diperkenalkan, Dayz sudah sedia popular dengan jualan sebanyak 430,000 unit sejak diperkenalkan pada tahun 2013.
Pengenalan Dayz dan eK Wagon pada pertengahan Mac lalu sebenarnya adalah majlis keraian kedua kerana Nissan dan Mitsubishi telah pun berkerjasama dalam mengeluarkan Dayz generasi pertama pada tahun 2013.
Berikut ialah ciri-ciri Nissan Dayz baharu:
- Menggunakan teknologi ProPILOT seperti LEAF, Serena dan X-Trail
- Mempunyai teknologi bantuan pemanduan seperti pecutan, stereng dan brek semasa memandu di lorong sehala di lebuh raya
- Ciri-ciri canggih lain ialah Intelligent Emergency Brakes, Lane Departure Warning, Intelligent Lane Intervention, Emergency Assist for Pedal Misapplication, Intelligent Around View Monitor, High Beam Assist, dan Helpnet2 yang boleh melaporkan kemalangan secara automatik
- Turut ditawarkan dalam nadi kuasa S-Hybrid dengan bateri lithium-ion baharu
- Kereta mini pertama menggunakan kerusi Sifar Graviti Nissan
- Varian lebih sporti dikenali sebagai Dayz Highway STAR
- 17 pilihan warna termasa dwi-warna dan pelanggan boleh memilih kordinasi warna luar dengan warna interior
- Autech Japan Inc mempunyai varian tersendiri dikenali sebagai Dayz Bolero
- Perbezaan utama ialah pada warna gril krom gelap, pembuka pintu dan cermin sisi berwarna putih mutiara serta rim eksklusif 14 inci
- Tujuh pilihan warna putih dengan tiga pilihan dwi-warna untuk bumbung putih
- Harga Nissan Dayz bermula daripada 1.27 juta yen (RM 46,768)
*1 JPY = RM 0.0368
Penulis: Muhammad Md Tajudin