MOT sahkan Perodua, Toyota patuhi piawaian keselamatan UN

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pengujian semula kenderaan di bawah Perodua dan Toyota mengesahkan semua model di bawah jenama berkenaan mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan United Nation (UN).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kedua-dua jenama berkenaan disahkan telah mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) semasa.

Menurutnya, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan, kesemua laporan pengujian semula tersebut dipaparkan kepada umum menerusi laman sesawang JPJ di https://bit.lv/JPJDaihatsu.

“Pihak JPJ akan meneruskan pemantauan secara tegas ke atas kedua-dua pengeluar kenderaan tersebut serta pihak Daihatsu Motor Corporation (DMC) bagi memastikan mereka telah melaksanakan tindakan penambahbaikan yang telah ditetapkan

“Antara penambahbaikkan terlibat adalah pengemaskinian tatacara pelaporan pengujian dalaman dan pelaksanaan aktiviti pematuhan pembuatan secara berkala melibatkan pihak berkuasa iaitu JPJ secara berkala,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan MOT pada Selasa.

Sebelum ini berlaku insiden ketidakaturan prosedur pengujian keselamatan kenderaan pihak DMC Japan, menyebabkan MOT telah mengarahkan pengujian semula dilaksanakan membabitkan dua jenama berkenaan dengan DMC Japan membabitkan enam pematuhan Peraturan UN.

Skop Peraturan UN yang terlibat bagi tujuan pengujian semula kereta berkenaan melibatkan 'door latches, door retention component,pedestrian protection, seats anchorage, seat-head restraints, brake system dan frontalimpact' dan 'side impact'.

“Di bawah Perodua, terdapat enam model kenderaan yang terlibat iaitu Axia (generasi pertama), Axia (generasi kedua), Alza (generasi kedua), Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi. Bagi Toyota pula, terdapat tiga model kenderaan yang terlibat iaitu Rush, Vios dan Veloz.

“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu tersebut di dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Jelasnya, sesi pengujian semula kenderaan terbabit telah dilaksanakan sepenuhnya pada Mac lalu oleh pihak Technical Services (TS) yang diiktiraf oleh World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29) menerusi rangka kerja United Nations Type Approval.

Sementara itu, sebanyak 575 unit kenderaan Chery Omoda 5 telah selesai diperiksa di bawah pemanggilan semula oleh pihak syarikat Chery yang mewakili 95.83 peratus kenderaan yang terlibat.

Anthony Loke berkata, pihak syarikat Chery telah menghubungi baki 25 unit lagi pemilik kenderaan Chery Omoda 5 bagi janji temu pemeriksaan dan dapat diselesaikan sepenuhnya pada akhir Jun ini.

“JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan kesemua unit yang terlibat dibuat pemeriksaan dan disahkan selamat serta proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terkesan,” ujarnya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tahun lalu, nombor plat keluaran khas FF1 yang bernilai RM1.2 juta juga menjadi milik Seri Paduka…
Berita Domestik
Beliau berkata hal ini kerana subsidi diesel terus diberikan kepada golongan itu menerusi kad fleet…
Berita Domestik
Kadar hanya terpakai kepada kereta bateri elektrik, sel bahan api Katanya, kadar fi LKM baharu…