Bas sekolah tidak terkesan, tidak patut naikkan tambang - Anthony Loke

oleh Firdaus Razani|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pengusaha bas ekspres dan bas sekolah tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung.

Beliau berkata hal ini kerana subsidi diesel terus diberikan kepada golongan itu menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

''…tidak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.

"Mereka tidak terkesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi.

“Jadi apa yang mendorong mereka menaikkan harga tambang," katanya pada sidang media selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Officials Meeting (STOM) di George Town.

Loke mengulas khabar angin berkaitan kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin.

Menurut Loke kadar tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

''Bagi bas sekolah, kita tidak kawal harganya cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Bas persiaran pula adalah untuk kegunaan pelancong asing dan bagi tujuan pelancongan bukannya kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

''Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima mereka," katanya.

 

SUMBER : MalaysiaKini

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Syafiee berkata, jeritan sayup yang semakin kuat…
Informasi
"Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso sebanyak RM100 juta…
Informasi
  Kata beliau, pihaknya mahu lebih kepada usaha advokasi atau pendidikan berbanding tindakan…