Model-model ikonik (dan pelik) Mitsubishi dari tahun 1917 sehinggalah sekarang

oleh Mohamad Hanif|
Jika ditanya kepada para peminat kereta, khususnya peminat-peminat sejarah automotif Jepun, nama Mitsubishi itu sendiri merupakan salah satu nama yang kuat bersaing, terutama ketika era 1980-an sehingga penghujung 1990-an.
Modenas

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa sejarah Mitsubishi sebenarnya bermula jauh lebih awal pada tahun 1917, apabila Mitsubishi Shipbuilding Company (yang kini dikenali sebagai Mitsubishi Motors) mula memasang siri produksi pertama kenderaan di Jepun menerusi Mitsubishi Model A.
 


Model yang diasaskan daripada Fiat Tipo 3 itu merupakan sedan empat pintu dengan tujuh tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 2.8 liter empat silinder sebaris berkuasa 35 hp dan mampu mencapai kelajuan 97 km/j. 

Termasuk prototaip, sebanyak 22 unit telah dibina antara tahun 1917 sehingga 1921 disebabkan mod pemasangan menggunakan tenaga tangan sepenuhnya. 
 


Menerusi paparan garis masa yang disediakan oleh Mitsubishi Motors, mereka telah menyediakan senarai model-model yang pernah dihasilkan, termasuklah sebuah skuter Silver Pigeon dengan kod nama C-10.

Silver Pigeon dihasilkan sewaktu Mitsubishi Motors cuba bangkit kembali selepas era Perang Dunia Kedua, dan dijana dengan enjin empat lejang 112 cc.

Ternyata, cubaan Mitsubishi 'beralih arah' membuahkan hasil apabila Silver Pigeon menjadi penyumbang utama sumber pendapatan Mitsubishi pada ketika itu dengan tempoh produksi menjangkau 18 tahun!
 


Memasuki tahun 1950-an, Mitsubishi bekerjasama dengan Willys Overland Motors untuk mengimport model Jeep CJ3A dalam bentuK CKD untuk kegunaan agensi perhutanan.

Mitsubishi Jeep ditawarkan dalam pelbagai jenis varian badan, termasuklah badan kanvas, metal top, wagon serta pilihan enjin diesel dan petrol.

Selama 45 tahun produksi, Mitsubishi Jeep berjaya dijual sekitar 200,000 unit sehinggalah tamat produksi pada tahun 1998.

 


Namun, disebabkan perjanjian yang termeterai antara Mitsubishi dengan Willys, pengeluar Jepun itu tidak dapat mengeksport model Jeep ke luar negara tatkala permintaan terhadap kenderaan pacuan empat roda mula meningkat pada masa itu.

Tahun 1982 menyaksikan kelahiran Mitsubishi Pajero (Montero, Shogun) yang menampilkan ciri pacuan empat roda serta ciri-ciri sejati sebuah SUV off-road dan masih mampu menawarkan pemanduan seperti kereta penumpang.

Pajero bukan sahaja berjaya sebagai sebuah model SUV off-road malah keupayaannya juga turut terbukti apabila memenangi kategori Unmodified 4WD Production Class di Paris-Dakar Rally - acara sukan permotoran paling lasak di dunia.

 


Sejarah Mitsubishi dalam sukan rali tidak perlu dipertikaikan lagi, bermula dari penggunaan model Lancer 1600 GSR, Lancer EX generasi kedua, Galant VR-4 serta barisan model-model berprestasi tinggi Lancer Evolution I sehingga Evo X diperingkat dunia. 

Namun, ia semua tidak kekal lama sebelum akhirnya model ini ditamatkan sendiri riwayatnya oleh Mitsubishi, meninggalkan Subaru Impreza terkial-kial tanpa pesaing sejati.

 


Tidak dilupakan, tanpa Mitsubishi Motors, rakyat Malaysia tidak mungkin akan menikmati perasaan memiliki kereta nasional, hasil idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Keempat, Ketujuh, dan juga Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sedan Mitsubishi Lancer Fiore diperkenalkan pada tahun 1982 bagi membezakan antara model hatchback Mirage walaupun dibangunkan atas platform yang serupa.

 

 


Dan daripada model Lancer inilah, Proton berjaya menghasilkan produk kereta nasional yang pertama pada 1985, iaitu Proton Saga Orion dengan kejayaan menguasai kira-kira 64 peratus pegangan pasaran pada pertengahan 1986.

Lancer Fiore juga merupakan antara model Mitsubishi yang turut ditukarkan lencananya kepada model-model pasaran luar negara seperti Dodge/Plymouth Colt, dan juga Eagle Vista.

 


Memasuki tahun 1990-an, Mitsubishi hadir dengan sebuah kereta sports GTO/3000GT yang boleh dikira agak maju pada zamannya, menampilkan enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar 280 PS, sistem transmisi manual, serta sistem pacuan semua roda sepenuh masa.

Apa yang menarik pada Mitsubishi GTO ini adalah kehadiran Aero Active System terdiri daripada pelindung venturi hadapan dan spoiler belakang yang mampu diaktifkan pada kelajuan tinggi, serta Active Exhaust System yang mampu menghasilkan not ekzos rendah atau tinggi bergantung kepada kehendak pemandu.

 


Bagi mereka yang pernah terjebak dengan kegiatan modifikasi kenderaan, nama RVR/RVR Sport/Space Wagon sudah tentu tidak asing lagi didengari era 1990-an dan juga 2000-an.

SUV kecil ini bukan sahaja menarik pada pandangan mata, malah pakej yang ditawarkan juga sebenarnya menjadikan SUV ini satu pilihan yang agak unik seperti pintu belakang jenis gelongsor, serta pakej ruang dalaman yang agak praktikal dan tidak terdapat pada kenderaan dalam segmennya.

Dan di Malaysia, jalan mudahnya adalah masukkan sahaja enjin halfcut Evo 4G63 dan segala macam mak nenek modifikasi yang mampu mengeringkan akaun anda.

Siapa yang arif membelek majalah modifikasi kereta pada zaman itu, memang meleleh air liur bila melihat hasil kerja anak Malaysia terhadap RVR ini.

 


Akhir sekali, tidak dilupakan jentera berprestasi tinggi pacuan semua roda yang didatangkan dalam bentuk station wagon, Mitsubishi Lancer Evolution Wagon, dilancarkan pada September 2005 yang menggandingkan pemanduan dinamik Evo IX dan ruang kargo yang cukup besar.

Sebanyak 2,500 unit wagon ini dihasilkan sepanjang tempoh produksi, menjadikannya antara model yang agak 'rare' untuk dijumpai atas jalan raya.

 


Jadi, rasanya tidak akan cukup satu artikel untuk mengupas setiap model-model yang pernah dihasilkan oleh Mitsubishi, disebabkan setiap satunya memiliki sejarah dan keunikan yang tersendiri.

Bagi anda yang mempunyai kelapangan masa, boleh melayari laman web https://www.mitsubishi-motors.com/en/innovation/history/detail/ untuk meneroka sejarah Mitsubishi Motors yang pernah satu ketika dahulu antara gergasi automotif Jepun.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Beliau sebelum ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Mitsubishi Motors pada Ogos lalu atas…
Berita Global
Laporan terbaharu daripada Asian Nikkei Review itu menyebut, kilang Pajero Manufacturing yang…
Berita Global
Dinamakan sebagai Dynamic Shield, ia merupakan hasil kerja tangan Naib Presiden Korporat Mitsubishi…