Tatkala para pengeluar automotif sedunia gian mengejar kelajuan terpantas bagi model produksi massa mereka, lain pula caranya di Volvo - pengeluar kereta terselamat di dunia.
Dengan satu misi yang mereka bawakan sejak dari dari dulu, Volvo tidak mahu seorang pun daripada pemandu mahupun penumpang yang terbunuh atau tercedera akibat kemalangan di dalam sebuah kenderaan Volvo.
Oleh sebab itu, bermula dari tahun 2020, Volvo mahu mengehadkan kelajuan kenderaan mereka secara elektronik pada takat 180 km/j sahaja.
Dalam mencapai misi ini, Volvo bukan sahaja melabur di dalam aspek teknologi keselamatan, malah mereka turut memfokuskan kepada kelakuan para pemandu ketika di jalan raya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Volvo Cars, terdapat tiga faktor utama yang menghalang usaha untuk mencapai kadar kecederaan dan kematian sifar, didahului dengan kecenderungan memandu pada kelajuan tinggi.
Menurut Hakan Samuelsson, CEO Volvo Cars menyebut, "walaupun isu mengehadkan kelajuan ini bukanlah satu penyelesaian jangka pendek, usaha ini lebih bernilai sekiranya kami mampu menyelamatkan walaupun seorang nyawa."
Selain daripada itu, Volvo juga melihat kombinasi geo-fencing dan kawalan kelajuan automatik menggunakan teknologi GPS mampu memberikan kesan yang lebih baik, terutama ketika memasuki kawasan kritikal seperti hospital dan sekolah.
Di dalam pengumuman terbaharu oleh syarikat Sweeden itu, Volvo Cars ingin menunjukkan bahawa bagaimana teknologi keselamatan dan infrastruktur pintar mampu untuk menjadi kombinasi efektif bagi mengurangkan kadar kecederaan atau kematian jika berlaku sesebuah kemalangan.