MINI John Cooper Works GP 2020 - 306 hp/450 Nm, 10 unit, dari RM377,490

oleh Mohamad Hanif|
MINI Malaysia hari ini melancarkan sebuah lagi model berprestasi tinggi, MINI John Cooper Works GP Edition merangkap MINI paling berkuasa pernah dibina.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebanyak 10 unit sahaja ditawarkan untuk pasaran Malaysia, MINI John Cooper Works GP ini hadir dengan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo yang mampu menjana 306 kuasa kuda dan 450 Nm, serta warna eksklusif Racing Grey.

Kuasa pecutan adalah sekitar 5.2 saat dari 0-100 km/j, kelajuan maksimum dihadkan kepada 265 km/j.

 


Sebagai sebuah model berprestasi tinggi, MINI turut membawakan beberapa modifikasi terhadap enjin seperti penggunaan crankshaft yang diperkukuh, piston, rod penghubung jenis bushless, serta peredam gegaran dengan penyejukan yang ditambahbaik.

MINI juga turut menggunakan turbo yang dibangunkan serba baharu diintegrasikan dengan manifold ekzos serta dilengkapi dengan injap divert-air untuk respons yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, sistem transmisi juga turut ditambah baik bagi menghasilkan pecutan yang lebih sempurna, penukaran gear yang lebih sporti, serta mampu bertahan di bawah penurunan gear agresif ketika kereta dipaksa memecut.

 


Sistem gantungan MINI John Cooper Works GP jenis MacPherson strut (hadapan) dan multilink (belakang) telah dioptimasikan berkadaran dengan peningkatan kuasa yang diberikan, di mana input-input penalaan banyak diperoleh daripada program pengujian khusus di Nurburgring Nordschleife dan trek lumba yang lain.  

Jarak antara trek roda juga turut bertambah manakala ketinggian badan telah direndahkan 10 mm jika dibandingkan dengan MINI John Cooper Works untuk ketangkasan pemanduan yang lebih baik.

Dari segi luaran, ia membawakan kemasan eksklusif GP seperti rekaan gril radiator heksagon, kemasan pada kemasukan udara bawah dan spoiler bumbung berwarna Chili Red, logo GP dalam warna Rosso Red metalik, serta kemasan hitam pada lampu utama, pemegang pintu, penutup corong bahan api, serta logo MINI.

 


Set rim pula adalah bersaiz 18 inci dengan berat kurang dari sembilan kilogram, dengan kemasan penutup hab berlogo GP.

Namun, kemasan yang paling menyerlah adalah fender sisi depan dan belakang yang diperbuat daripada bahan gentian karbon, serta hadir dengan nombor siri yang tersendiri, diikuti dengan jalur perlumbaan GP, serta spoiler bumbung yang lebih agresif.

 


Ruang kabin pula hanya menempatkan dua tempat duduk jenis sports bucket yang dibaluti kulit Dinamica, roda stereng dengan petunjuk tanda 12, jahitan kontras merah, paddle shifter serta kehadiran logo GP pada alas lantai, ambang pintu.

Rekaan papan pemuka juga turut menampilkan nombor siri tersendiri, skrin infotainmen bersaiz 8.8 inci, serta skrin instrument digital 5.5 inci yang menampilkan paparan spesifik tema GP.

10 unit MINI John Cooper Works GP kini boleh didapati bermula 26 Ogos 2020, dengan harga jualan bermula dari RM377,470.90 setelah pengecualian cukai jualan, atau bulanan serendah RM4,184.00 menerusi Balloon Financing daripada BMW Group Financial Services Malaysia.

MINI Malaysia menawarkan jaminan selama empat tahun tanpa had perbatuan, program servis percuma, serta bantuan tepi jalan selama lima tahun.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  MINI sekarang sedang membangunkan John Cooper Works GP dengan kuasa lebih ekstrem iaitu lebih…