Ditawarkan dalam varian tunggal S 580 e, sedan mewah bersaiz penuh ini dikuasakan oleh trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin enam silinder sebaris 2,999 cc yang berupaya menghasilkan 367 hp @ 5,500 - 6,100 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,600 -4,500 rpm, dibantu dengan motor elektrik 110 kW/440 Nm.
Pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 5.2 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.
Antara ciri yang dimuatkan pada Sonderklasse generasi baharu ini termasuklah unit lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, sistem suspensi AIRMATIC, sementara ruang kabin pula menampilkan penggunaan upholsteri kulit Nappa, trim kayu Anthracite, stereng balutan kulit Nappa, serta beberapa pakej termasuklah Chaeuffeur, Sun Protection, AIR-BALANCE, Rear Seat Comfort, Memory, dan Rear Seat Memory.
Sistem multimedia pula terdiri daripada skrin 3D untuk pemandu, skrin tengah OLED, sistem bunyi Burmester 3D, serta beberapa ciri seperti MBUX Navigation Premium dengan ciri realiti terimbuh, tablet infotainmen di belakang, serta sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan sistem pengecasan peranti nirwayar.
Menurut Mercedes-Benz Malaysia, S-Class 2022 akan mula didapati menjelang pertengahan Januari 2022, dan tempahan untuk model S 580 e 2022 versi pemasangan tempatan (CKD) sudah pun dibuka.
Namun, harga jualan rasmi hanya akan diumumkan kelak.