Mercedes-Benz GLB 2020 - SUV tujuh tempat duduk premium mampu milik?

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Akhirnya, setelah beberapa siri teaser didedahkan oleh Mercedes-Benz, model SUV tujuh tempat duduk GLB akhirnya selamat dilancarkan sebagai tambahan kepada barisan SUV mewah sedia ada. 

Namun, menurut Mercedes-Benz mereka memposisikan GLB sebagai sebuah kereta keluarga kompak global sebagai satu pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah SUV di antara GLA atau GLC. 
 


Dari segi luaran, ia tidak mempunyai banyak perbezaan jika dibandingkan dengan model konsep yang dipamerkan sebelum ini. 

Lampu utama juga tampil berbentuk ala-ala kekotakan serta penampilan gril yang berbeza mengikut varian (tipikal Mercedes-Benz).

Bagi menampakkan ia benar-benar sebuah SUV keluarga, sepasang rel bumbung menghiasi ruang tersebut selain penampilan cladding berwarna hitam. 
 


Walaupun GLB asalnya dipasarkan sebagai SUV dengan tujuh tempat duduk, tambahan dua tempat duduk di belakang ditawarkan sebagai opsyen bagi mereka yang tidak memerlukan kerusi tambahan di baris ketiga. 

Bagi memaksimumkan penggunaan ruang barangan di belakang, kerusi baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40. 
 


Ruang dalaman pula banyak mengambil unsur daripada A-Class terkini seperti penggunaan skrin lebar berkembar, sistem infotaimen MBUX dan pencahayaan kabin suram dengan 64 warna. 

Dari segi keselamatan pula, Mercedes-Benz GLB tampil dengan ciri yang dipinjamkan secara terus dari S-Class seperti Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Penukaran Laluan Aktif, Bantuan Parkir Aktif PARKTRONIC dan sebagainya. 

Ini bermakna, SUV GLB ini mampu dipandu secara semi-autonomi di dalam sesetengah keadaan yang dibenarkan. 
 


Nadi kuasa GLB pula diserahkan kepada enjin M260 2.0 liter turbo yang menghasilkan 221 kuasa kuda dan 350 Nm daya kilas yang masuk antara 1,800-4,000 rpm. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC atau pacuan dua roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan.

Menurut Mercedes-Benz, kuasa yang terhasil sudah cukup untuk membuatkan SUV kotak ini memecut dari pegun sepantas 6.9 saat (konfigurasi pacuan semua roda) sebelum mencecah kelajuan 100 km/j. 

Satu angka yang tidak mengecewakan bukan? 
 


SUV ini juga turut dilengkapi dengan mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Sport dan Off-Road di mana kuasa tersebut boleh dibahagikan kepada gandar hadapan dan belakang mengikut keperluan. 

Mercedes-Benz GLB hanya ditawarkan dalam dua varian sahaja, iaitu GLB 250 (pacuan roda hadapan) dan GLB 250 4MATIC namun harga jualan hanya akan diumumkan menjelang tarikh penjualan rasmi (di Amerika Syarikat terlebih dahulu) menjelang penghujung tahun ini. 

Adakah ia akan menjadi penawaran SUV tujuh tempat duduk premium mampu milik dari Mercedes-Benz?

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kedua-dua syarikat global itu akan mengadaptasi strategi digital, menghasilkan pendekatan pasaran…
Berita Global
  Bampar direka dengan bukaan liang udara yang minimum untuk penyejukan dan bahagian bawah badan…
Berita Global
  Kemewahan kereta ini boleh disaksikan di Muzium Mercedes-Benz di Jerman. Apa yang membuatkan…