Namun, ia bukanlah satu penghalang buat Mercedes-Benz untuk terus tampil dengan model wgon serba baharu, menerusi pengenalan E-Class Estate 2024.
Muka depan wagon E-Class ini masih lagi mengekalkan rupa paras yang sama seperti sedan E-Class 2024 yang diperlihatkan sebelum ini, termasuklah rekaan jeriji bercahaya yang ditawarkan sebagai opsyen.
Profil sisi pula sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada model CLS Shooting Brake, sementara bahagian belakang pula dipadankan dengan unit lampu utama yang hampir sama bentuknya macam model sedan.
Menurut Mercedes, dimensi jarak antara roda untuk model wagon ini bertambah sebanyak 22 mm yang memberikan perbezaan pada aspek ruang kaki belakang.
Ruang kargo pula menawarkan kapasiti sebesar 615 liter, atau sehingga 1,830 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Sementara model plug-in hybrid (PHEV) pula menawarkan ruang sebesar 460 liter disebabkan oleh penambahan bateri yang lebih besar.
Sama seperti model sedan E-Class, terdapat opsyen untuk memilih sistem suspensi udara untuk keempat-empat sudut.
Namun tidak seperti sedan, Mercedes-Benz menawarkan sistem suspensi udara secara standard untuk gandar belakang bagi setiap model.
Untuk pasaran Eropah, Mercedes-Benz E-Class Estate boleh didapati dalam varian asas enjin 2.0 liter hibrid ringan (E 200 - 201 hp, E 200 d - 194 hp) yang dipadankan dengan motor elektrik 23 hp.
Sementara versi plug-in hybrid E 300 e pula membawakan nadi 2.0 liter 201 hp, motor elektrik 127 hp yang dipasangkan dalam transmisi automatik 9 kelajuan, serta pek bateri 25.4 kWh dengan jarak gerak sifar emisi 100 km.
Kuasa keseluruhan mampu mencecah 308 hp, membolehkan wagon PHEV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat sahaja.
Susun atur dan spesifikasi ruang kabin wagon E-Class adalah menyamai apa yang ditawarkan pada sedan E-Class sebelum ini, seperti penawaran sistem MBUX Hyperscreen, kamera swafoto, aplikasi persidangan dalam talian (Zoom, Webex), TikTok dan juga permainan Angry Birds.
Ciri lain termasuklah sistem kunci digital, bantuan parkir automatik, sistem Sound Visualization, serta sistem pencahayaan ambien aktif.