Untuk makluman, kedua-dua model Flair Wagon ini sebenarnya diubah lencananya daripada model Spacia dan Spacia Custom yang dibekalkan oleh Suzuki, malah rekaan rim juga adalah hampir sama sahaja dengan model asal.
Terdapat dua pilihan enjin tiga silinder sebaris ditawarkan dengan bantuan hibrid ringan.

Versi asas 657 cc mampu menghasilkan kuasa 49 PS @ 6,500 rpm, daya kilas 58 Nm @ 5,000 rpm dibantu dengan motor elektrik 2.6 PS/40 Nm dan pek bateri lithium-ion 3 Ah.
Sementara varian tertinggi bersesaran 658 cc turbo pula menawarkan kuasa 64 hp @ 6,000 rpm, daya kilas 98 Nm @ 3,000 rpm, dipadankan dengan motor elektrik 3.1 PS/50 Nm dan pek bateri lithium-ion 3 Ah.
Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT, serta pilihan sistem pacuan dua roda atau semua roda.
Dari sudut luaran, Flair Wagon membawakan penampilan yang lebih lembut, sementara Flair Wagon Custom Style pula tampil dengan muka depan yang lebih agresif.

Buat pertama kalinya, sebuah kereta ringan Mazda dilengkapi dengan fungsi kusyen sokongan pada tempat duduk belakang yang boleh dilaras kedudukannya.
Struktur sokongan itu menawarkan tiga posisi, iaitu sebagai kusyen ottoman, sokongan untuk kaki, serta boleh digunakan untuk menghalang barangan daripada terjatuh.

Terdapat juga dulang untuk meletakkan barangan kecil di hadapan penumpang depan, terima kasih kepada rekaan papan pemuka yang bertingkat, diikuti dengan ruang tambahan pada panel pintu, serta ciri lain seperti slot pengecasan USB-A dan USB-C, brek parkir elektrik, pemanas roda stereng, dan skrin TFT bersaiz 4.2 inci.
Ciri keselamatan yang dibekalkan termasuklah Dual Sensor Brake Support II, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi kawalan kelajuan selekoh, serta sokongan pengekalan lorong.
Di Jepun, harga jualan Flair Wagon bermula dari 1,541,100 yen (RM50,138).