Mazda CX-30 buat kemunculan rasmi di Mazda Glenmarie - dari RM143k

oleh Mohamad Hanif|
Selesai sudah Mazda melancarkan CX-5 2.5 Turbo dan Mazda CX-8 (SUV tiga baris tempat duduk) beberapa bulan yang lalu, sebuah lagi crossover SUV sudah bersedia untuk menerjah pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Kami berkesempatan untuk singgah ke Mazda Glenmarie melihat dengan lebih dekat penawaran terbaharu SUV yang diposisikan antara Mazda CX-3 dan Mazda CX-5 ini. 

 


Secara kasarnya, Mazda CX-30 ini merupakan satu penawaran di tengah-tengah bagi mereka yang tidak mahukan CX-3 yang terlalu kecil dan CX-5 yang terlalu besar untuk kegunaan seharian. 

Varian asas Mazda CX-30 didatangkan dengan kelengkapan seperti rim aloi 16 inci, lampu LED (utama dan belakang), bumbung suria, spoiler belakang, sistem pendingin hawa manual, kerusi balutan fabrik dan stereng balutan kulit. 
 


Sistem hiburan pula merupakan Mazda Connect Infotainment System dengan skrin paparan bersaiz 8.8 inci, lapan unit pembesar suara serta menerima ciri sambungan kepada Android Auto dan Apple CarPlay. 

Manakala dua varian teratas menerima kelengkapan yang lebih premium seperti rim aloi bersaiz 18 inci, lampu iluminasi signatur Mazda, sistem pendingin hawa dua zon automatik, tempat duduk boleh laras (10 tetapan) dengan fungsi memori, tempat duduk balutan kulit, serta tailgate berkuasa. 
 


Secara standard, kelengkapan asas keselamatan Mazda CX-30 merangkumi tujuh beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik, Bantuan Brek Kecemasan, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, cagak ISOFIX dan juga Lampu Berhenti Kecemasan. 

Sementara itu, ciri yang lebih maju seperti Sistem Lampu Hadapan Adaptif, Kawalan Suluhan Tinggi, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Tumpuan Pemandu, Sokongan Brek Pintar dan Kawalan Pelayaran Radar Mazda hanya terdapat pada dua varian tertinggi sahaja. 
 


Dua pilihan enjin ditawarkan, iaitu enjin Skyactiv-G 2.0 liter yang menghasilkan 163 kuasa kuda dan 213 Nm daya kilas, dan enjin diesel Skyactiv-D 1.8 liter yang menjana 114 hp dan 270 Nm. 

Kedua-dua enjin diatas memacu roda hadapan sahaja menerusi sistem transmisi automatik Skyactiv Drive enam nisbah kelajuan. 
 


Sebelum terlupa, Mazda CX-30 menawarkan ruang kargo sebesar 430 liter yang boleh ditambah menjadi sebesar 1,430 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sepenuhnya. 

Tidak seperti Mazda CX-5 dan Mazda CX-8 yang dipasang secara tempatan (CKD), Mazda CX-30 diimport sepenuhnya dari Jepun dalam unit CBU dengan lapan warna menarik ditawarkan termasuklah Soul Red Crystal, Machine Gray, Titanium Flash, Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Snowflake White Pearl, dan Polymetal Gray Metallic. 
 

 
Harga jualan pula bermula dari RM143,119.20 untuk varian CX-30 2.0L (2WD), RM164,119.20 untuk varian pertengahan 2.0L High (2WD), manakala varian diesel 1.8L High pula dijual pada harga bermula RM173,027.70 - kesemua merupakan harga atas jalan tanpa insurans. 

Setiap pembelian Mazda CX-30 didatangkan dengan jaminan berupa lima tahun termasuk servis penyelenggaraan percuma lima tahun (kos buruh, alat ganti dan pelincir) dan terhad kepada 100,000 km (yang mana terdahulu). 

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Kereta
Hanya dalam masa beberapa bulan pelancaran rasmi di peringkat global, ia sudah pun mendarat di bumi…
Model Terbaharu
Bagi mereka yang masih keliru, Mazda CX-30 ini merupakan satu penawaran di tengah-tengah bagi…
Berita Domestik
Dibangunkan menggunakan platform Skyactiv-Vehicle Architecture, Mazda CX-30 memiliki jarak antara…