Menurutnya, arahan itu dikeluarkan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini yang boleh merosakkan jalan ke penempatan Orang Asli di Pos Gob.
"Kerosakan jalan terbabit menyebabkan kerja-kerja pembinaan jambatan dan pembaikan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kesedar tergendala.
"Dikhuatiri projek tidak dapat disiapkan mengikut masa ditetapkan disamping menyukarkan dan menggangu rutin masyarakat setempat," katanya menerusi kenyataan di Facebook agensi itu.
Sementara itu, arahan terbabit disambut baik penduduk Orang Asli di Pos Gob, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Aman Angah berkata, arahan itu diharap dapat membantu menyelesaikan masalah jalan perhubungan ke perkampungan itu.
"Kami harap dengan arahan yang dikeluarkan ini dapat mempercepatkan proses membaiki dan membaik pulih jalan.
"Sudah lama kami terpaksa melalui jalan rosak untuk keluar ke Bandar Gua Musang.
"Keadaan jalan rosak ini juga turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan pembelajaran anak-anak apabila pelajar dan murid tidak dapat keluar dari pos kerana masalah jalan rosak.
"Saya sangat berterima kasih kepada pihak Jakoa yang sedar akan masalah dihadapi kami di sini dan berharap jalan dan jambatan akan siap seperti yang dijanjikan," katanya.
Bagi pemandu pacuan empat roda yang menjadi pengangkutan utama penduduk untuk keluar masuk ke perkampungan itu berkata, arahan yang dikeluarkan itu tepat pada masanya supaya jalan perhubungan dapat disiapkan secepat mungkin.
"Kami pemandu pacuan empat roda yang menjadi pengangkutan utama penduduk untuk keluar masuk bagi urusan di bandar Gua Musang sering mengalami kesukaran kerana masalah jalan rosak.
"Dengan keadaan cuaca sekarang jalan akan mengalami rosak teruk sehingga menyukarkan kami untuk membawa Orang Asli keluar.
"Kami harap dengan penutupan itu dapatlah mempercepatkan kerja-kerja baik pulih jalan untuk memudahkan kami bekerja kerana setiap hari perlu melalui jalan itu," katanya.