Masih terima subsidi walaupun tidak memiliki kereta - Lim Guan Eng

oleh Mohamad Hanif|
Subsidi bersasar petrol dan diesel tetap diberi kepada penerima yang layak namun tidak mempunyai kenderaan berikutan kekangan kewangan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengakui segelintir penerima subsidi berteraskan mekanisme penyaluran menggunakan kad minyak itu tidak mempunyai kenderaan, namun memerlukan petrol dan diesel untuk tujuan lain.

Katanya, majoriti penerima dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar itu lazimnya mempunyai penjana kuasa yang beroperasi menggunakan petrol dan diesel.

“Kumpulan (penerima) yang tiada kenderaan, tapi perlu guna diesel untuk generator (jana kuasa) akan diberikan kerana ini subsidi bahan api secara bersasar.

“Oleh itu, penumpuan ialah terhadap golongan yang memerlukan bantuan, bukan orang kaya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN UMNO-Baling) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
 


Abdul Azeez meminta perincian kerajaan sama ada petrol bersasar seperti diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 akan turut diberikan kepada penerima yang tidak mempunyai kenderaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN UMNO-Jempol) yang menimbulkan kegusaran mekanisme pelaksanaan subsidi petrol, Guan Eng berkata, syarikat stesen minyak di seluruh negara akan diberikan kelengkapan teknologi berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, teknologi yang diperlukan untuk menyemak butiran dalam kad minyak bagi memastikan subsidi dinikmati golongan sasar tidak rumit sehingga memerlukan pengkhususan canggih seperti diuar-uarkan segelintir pihak.

“Segala keprihatinan akan disampaikan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya tidak timbul masalah pelaksanaan subsidi ini, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.20 seliter serta RM2.18 seliter, walaupun harga sebenar di pasaran meningkat, seiring harga minyak mentah.

Katanya, kerajaan mengkaji dan memperhalusi sistem subsidi petrol dengan mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan subsidi bersasar. - BERITA HARIAN

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga sudah mengeluarkan senarai…
Berita Domestik
"Dengan membenarkan RON95 pada harga pasaran pada Jun ini, kesannya adalah kadar inflasi…
Berita Domestik
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, inisiatif tersebut merupakan sesuatu yang tidak…