Menurut laporan Asia Nikkei, pengedar-pengedar Toyota di Jepun telah berhenti mengambil tempahan untuk model MPV mewah mereka, Alphard/Vellfire sejak bulan November lalu.
Mereka juga berhenti mengambil tempahan untuk model Land Cruiser 300 tebaharu atas sebab yang sama.
Toyota sudah diketahui mempunyai isu di mana permintaan untuk produk mereka telah mengatasi jumlah yang boleh dihasilkan, walaupun syarikat itu telah meningkatkan unjuran penghasilan kenderaan mereka di kesemua kilang-kilang.
Namun begitu, Toyota juga arif akan situasi di mana jika mereka terlalu lama menghadkan penjualan, pembeli akan mula lari ke jenama-jenama lain.
Masalah yang sama turut dirasai oleh "adik" mereka di Malaysia. Perodua juga tahu bahawa masa menunggu untuk kenderaan yang ditempah oleh pelanggan mereka adalah terlalu lama tetapi telah mengambil langkah-langkah positif untuk memendekkan tempoh tersebut.
Perodua Bezza dan Alza contohnya, jika dahulu tempoh menunggu pernah dikatakan mencecah satu tahun, kini ia telah berkurangan sebanyak 50 peratus dan kemungkinan besar lebih pantas dari itu.
Diharapkan pengalaman ini dapat dirasai juga oleh satu lagi jenama tempatan kita.