Mampu ke jenama-jenama telefon pintar dan gajet melawan gergasi-gergasi automotif? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Baru-baru ini, Xiaomi telah melancarkan Ev pertamanya, SU7 yang dikatakan mensasarkan EV dari Tesla dan juga Porsche.

SU7 menggunakan motor elektrik HyperEngine dari Xiaomi yang mampu mencecah 21,000 RPM dan menggunakan bateri CATL buatan China dengan jarak gerak 800 km.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Prestasi itu lebih baik dari Tesla dengan motor elektrik 20,000 RPM sementara Porsche hanya pada 16,000 RPM.

Xiaomi mahu menjadi antara lima syarikat automotif utama dunia dalam tempoh 15 ke 20 tahun akan datang.

Sebelum itu, Huawei juga telah melancarkan EV mereka, Aito dan sebanyak 54,000 tempahan telah diterima.

Oktober lalu, Sony telah mempamerkan Afeela, sebuah EV yang bakal dibina bersama Honda.

Semua ini adalah cetusan idea yang bermula selepas melihat kejayaan Tesla, sebuah syarikat teknologi yang berjaya dengan EV mereka.

 

 

Sebagai seorang pemerhati industri, berita-berita ini memang menarik kerana penggunaan teknologi canggih di dalam EV memang tidak dapat dinafikan.

Sekarang ini, EV dari kebanyakan syarikat automotif sebenarnya tidak sebegitu canggih. Kelengkapan acah-acah canggih yang ada di dalam EV mereka sebenarny sudah lama wujud dalam model-model berenjin mereka.

Mereka berharap kepada rekabentuk futuristik, skrin-skrin besar, lampu-lampu LED dan fungsi-fungsi navigasi dengan input stesen pengecas. 

Kesemua fungsi itu sudah lama digunakan atau memang boleh digunakan oleh kenderaan berenjin biasa tetapi sasaran pembeli EV ialah mereka yang bukan kaki kereta beranggapan skrin besar di dalam EV adalah sesuatu yang hanya wujud dalam kereta elektrik.

Dari segi pemanduan, semua sudah melihat wayang 0-100 kmsj yang diwar-warkan oleh model-model EV atau pemain automotif baharu dari China - di mana mereka berfikiran jalanraya di dunia ini semuanya selurus bendul dan selekoh tidak wujud.

 

 

Syarikat automotif kebanyakannya sudah berusia hampir lebih 50 tahun, dan ada yang sudah berusia lebih 100 tahun.

Mereka sudah menjual berbilion unit kenderaan sejak awal dan untuk sebuah muka baru masuk ke dunia perniagaan automotif, ia memerlukan pengetahuan mendalam untuk beberapa perkara penting seperti:

  • Selok belok perniagaan automotif.
  • Pemahaman akan undang-undang pengangkutan setiap pasaran.
  • Kehendak unik setiap pasaran dan setiap genre.
  • Isu-isu untuk setiap genre kenderaan.
  • Kemampuan dan kekuatan kuasa pembeli.

Kenderaan tidak seperti sebuah telefon pintar - ia jauh lebih mahal, ia boleh bergerak sehingga 200 kmsj dan ia mampu dinaiki oleh manusia.

Dalam ertikata lain, telefon pintar tidak boleh membunuh manusia, telefon pintar hanya perlu muat di dalam poket dan telefon pintar boleh dibeli oleh seorang pelajar sekolah rendah.

Sepanjang pengalaman saya dalam industri ini, saya berpeluang berjumpa dengan beberapa syarikat dan individu yang unik yang cukup yakin dengan kebolehan mereka.

Kesemua mereka akhirnya tidak berjaya. Gergasi kenderaan seperti General Motors yang dahulunya cukup gah dan mempunyai pangkalan besar di Thailand, akhirnya akur mereka tidak cukup pengalaman untuk memahami pasaran Asean.

Individu yang melancarkan jenama China dahulu pernah memanggil media tempatan dan berkata beliau belajar mengenai dunia automotif melalui buku-buku dan sudah cukup mahir untuk melompat dari menjual roda aloi kepada menjual jenama kereta.

Akhirnya, syarikat itu terpaksa bergantung kepada pembeli-pembeli yang mahu membeli kenderaan tanpa sebarang duit muka dan jenama itu terkubur terus.

Proton, syarikat yang kita banggakan sebagai syarikat nasional yang berjaya, sebenarnya hanya mampu hidup dengan bantuan insentif kerajaan dan masih tidak mampu memecah gelaran juara kampung sehingga dibantu dengan rakan kongsi dari negara luar.

 

 

Untuk pengguna, automotif ialah satu dunia yang penuh dengan glamor dan rekabentuk serta gaya hidup modern.

Oleh kerana mereka memandu kereta setiap hari, ramai yang terus menjadi pakar dan berfikiran ia adalah satu produk yang cukup mudah bagi dihasilkan.

Saya secara jujurnya sangat menyambut baik kedatangan pemain-pemain baharu.

Tesla membuktikan bahawa syarikat automotif yang lama memang sudah terlalu perlahan dalam memperkembangkan teknologi dan masih berpegang kepada pemikiran dan cara tradisional.

Teknologi Over-The-Air oleh Tesla yang mampu melakukan "update" atau "pembaikan" secara atas talian ialah satu perkara yang sangat asing kepada syarikat automotif tradisional.

Penggunaan teknologi canggih perlu wujud kerana itu yang akan membantu mengurangkan kadar kemalangan jalanraya dan memudahkan urusan pengangkutan harian kita.

Namun begitu, masih ada banyak lagi isu-isu yang perlu difahamkan dalam industri automotif ini. Antara yang saya lihat ialah:

1. Pasaran kenderaan terpakai - adakah ia akan jadi kurang relevan? 

2. Adakah harga kereta baharu akan menjadi lebih rendah supaya kita mampu menggunakannya seperti telefon pintar - buang selepas lima tahun? 

3. Perkhidmatan selepas jualan - adakah syarikat kenderaan akan hanya mendapat keuntungan ketika menjual kereta baharu dan tidak perlu bergantung lagi pada keuntungan kepada pusat servis? 

4. Penghasilan alat ganti - tanpa pusat servis, adakah komponen alat ganti akan diserahkan kepada pihak ketiga sepenuhnya? 

5. Keseronokan pemanduan untuk kaki kereta - adakah ini akan dibataskan kepada permainan video sahaja?

Sebenarnya, ada banyak lagi isu-isu yang perlu diselesaikan dalam transformasi industri automotif dari enjin ke EV.

Untuk yang minat dengan EV, mereka menuduh ini semua adalah alasan belaka. Untuk mereka yang tidak sukakan EV, beribu alasan akan diberikan.

Untuk mereka yang sudah menggunakan kedua-duanya, memang terbukti ada beberapa isu ketara dan memerlukan pemerhatian jujur.

Contohnya, jarang sekali kita singgah ke stesen minyak dengan perasaan risau pam itu tidak akan berfungsi, atau ia memerlukan masa sehari untuk memenuhkan tangki petrol dan paling menyakitkan hati, sistem pembelian yang gagal berfungsi walaupun bahanapi dan pam sudah ada di situ.

Bukan mudah untuk menggantikan sesuatu yang sudah berusia 100 tahun. Ia memerlukan perancangan yang teliti oleh mereka yang berpengalaman, bukan oleh mereka yang mampu membeli media.

 

 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antaranya ialah tempat duduk hadapan serba baharu dengan lencana Ludicrous Mode, spolier belakang…
Berita Domestik
Perkongsian strategik ini menyediakan pentas bagi kesediaan NAZA Auto untuk menjadi pemain yang…
Berita Domestik
Meliputi tapak kawasan seluas lapan ekar, fasa pertama MCE Auto Hub ini akan menyaksikan pelaburan…