MAA - Jualan kenderaan cecah hampir 800,000 tahun lalu

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia meningkat ke paras tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023 berbanding 721,177 unit pada tahun sebelumnya, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, kenaikan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun itu dipacu terutamanya oleh subsegmen kereta penumpang berikutan ekonomi domestik yang berdaya tahan serta senario sosiopolitik yang stabil.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, pertumbuhan itu juga didorong oleh insentif bebas cukai, pelancaran baharu seperti kenderaan elektrik pada harga kompetitif serta persekitaran rantaian bekalan industri yang bertambah baik.

"Pertumbuhan jualan industri yang dicatatkan pada tahun lepas juga merupakan peningkatan tahunan kedua sejak penurunan pada 2020-2021 akibat pandemik Covid-19.

"Ini adalah tahun kedua berturut-turut menyaksikan angka TIV itu melepasi paras 700,000,” kata beliau pada sidang media pada Selasa. 

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Shamsor berkata, jumlah pendaftaran kenderaan penumpang baharu meningkat 77,003 unit atau 12 peratus tahun ke tahun kepada 719,160 unit pada 2023 daripada 642,157 unit pada 2022.

Sebahagian besar daripada jumlah itu didorong oleh prestasi peningkatan jualan kukuh yang dicatatkan oleh kedua-dua pengeluar kereta nasional, katanya.

Berikutan itu, gabungan pasaran kedua-dua pengeluar kereta nasional dalam segmen kenderaan penumpang meningkat kepada 66.9 peratus atau 481,300 unit pada 2023 berbanding 65.1 peratus atau 418.045 unit pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pengeluar jenama bukan kereta nasional merekodkan jumlah jualan lebih tinggi pada 6.0 peratus tahun ke tahun atau 237,860 unit berbanding 224,112 unit pada 2022.

Mengulas kenderaan elektrifikasi (xEV) yang merujuk terma meliputi kenderaan elektrik, hibrid dan bateri elektrik, Mohd Shamsor berkata segmen itu menyumbang kira-kira lima peratus daripada TIV dan memaparkan momentum permintaan positif yang berterusan.

Malah, katanya, xEV pada 2023 telah melonjak sebanyak 69 peratus tahun ke tahun kepada 38,214 unit dengan sejumlah 10,159 unit kenderaan elektrik bateri (BEV) dan 28,055 unit kenderaan hibrid.

Bagi prospek tahun ini, beliau berkata MAA menyasarkan TIV lebih rendah sekitar 7.5 peratus atau 740,000 unit, seiring dengan jangkaan lebih menyederhana mengikut unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa pertumbuhan ekonomi dunia susut kepada 2.9 peratus pada 2024 daripada 3.0 peratus pada 2023.

“Perbelanjaan pengguna berkemungkinan lebih perlahan susulan kebimbangan mengenai langkah rasionalisasi subsidi, kos sara hidup tinggi, pelaksanaan bersasar dan cukai barangan bernilai tinggi, kadar cukai perkhidmatan lebih tinggi unruk perkhidmatan tertentu seperti penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shamsor berkata langkah seperti meningkatkan rantaian bekalan serta pelancaran xEV pada paras harga berpatutan serta berdaya tahan, akan terus memacu minat belian yang berterusan.

MAA juga percaya bahawa permintaan serta minat terhadap xEV akan terus berkembang susulan sokongan kerajaan serta pelancaran lebih banyak model kenderaan xEV yang baharu serta menarik.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Walaupun angka untuk November adalah 4 peratus lebih rendah bulan ke bulan, MAA berkata jualan…
Informasi
“Ia merupakan TIV bulanan kedua tertinggi serta TIV kali ketiga melebihi 70,000 unit untuk tahun…
Berita Domestik
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, jumlah keseluruhan…