Lelaki mabuk langgar 11 kenderaan di Klang

oleh Mohamad Hanif|
Seorang pemandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol merempuh sebelas kenderaan lain di kawasan parkir di Flat Taman Kota Pendamar 2, dekat sini, semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dalam kejadian 9.35 malam itu, pemandu berusia 46 tahun itu dipercayai memandu dari Pendamar Indah menghala ke Pelabuhan Klang. sebelum melanggar pelbagai kenderaan di flat terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pemandu itu kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar beberapa kenderaan lain.

“Suspek cuba melarikan diri sebelum kenderaan pacuan empat roda dipandunya terhenti selepas melanggar tiang elektrik.

“Kesemua kenderaan yang dilanggar berada dalam keadaan parkir dan tiada kecederaan akibat kemalangan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, ujian awal terhadap pemandu terbabit juga mendapati kandungan alkohol dalam darahnya melebihi paras yang dibenarkan.

“Pemandu terbabit dihantar untuk menjalani ujian air kencing dan permohonan reman akan dibuat pada pagi ini,” katanya.

Pada masa sama, Shamsul Amar berkata, setakat ini hanya lapan pemilik kenderaan termasuk pemandu terbabit yang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

“Antara kenderaan yang dilanggar adalah kereta, kenderaan pacuan empat roda serta motosikal,” katanya.

Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati, tiada kamera litar tertutup (CCTV), malah keadaan permukaan jalan adalah kering dan tidak hujan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sejak semalam, video kejadian yang dipercayai di rakam penduduk di kawasan berkenaan tersebar melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Rang Undang-undang Rumah “House Bill” 393, pemandu mabuk yang disabitkan dengan pembunuhan…
Berita Domestik
  Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, semasa mangsa sedang…