Lantai jambatan rosak, keselamatan pengguna jambatan bailey Labuaya terancam

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Berita Harian
Lebih 500 pengguna harian jambatan bailey Labuaya di Tuaran, diancam bahaya setiap kali menggunakan kemudahan itu berikutan banyak papan pada lantainya tercabut dan patah.

Tinjauan mendapati kejadian itu berlaku walaupun selepas penyelenggaraan, menyebabkan kemudahan berkenaan berbahaya dilalui kenderaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Difahamkan, walaupun pembaikan berkala dilaksanakan kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR), namun kerosakan lantai jambatan itu berulang tidak sampai enam bulan dibaiki, dipercayai kerana kaedah pembaikan serta bahan binaan digunakan tidak berkualiti.

Sebelum ini, tular beberapa kali di media sosial mengenai lantai jambatan berusia lebih empat dekad itu yang tertanggal, reput dan patah.

Pengguna, Amelia Johnny, 43, berkata jambatan bailey Labuaya penting kepada penduduk sebagai laluan alternatif untuk ke pekan dan sebaliknya.

"Kemudahan itu turut dimanfaatkan penduduk daerah lain seperti Kota Belud, Kota Marudu, Pitas dan Kudat yang singgah di Tuaran sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi lain.

"Ini menjadikan kemudahan itu penting kepada penduduk setempat dan luar. Tanpa jambatan itu, keadaan lalu lintas terutama dalam kawasan pekan sesak, terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan," katanya.

Katanya, keadaan papan pada lantai yang tercabut itu menjadi punca kesesakan kerana pengguna berhati-hati mengelakkan tayar kenderaan terperosok.

Bagi Anthony Jun Anddy, 51, pula mendakwa papan lantai tercabut boleh menyebabkan tayar kenderaan bocor terkena paku dan kemudian lalu lintas sesak apabila pemandu memperlahankan kenderaan.

"Jadi saya harap kontraktor JKR melakukan pemantuan lebih kerap untuk memastikan kerosakan dapat dibaiki segera. Kemudahan itu wajar diselenggara lebih kerap dan berkualiti untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin," katanya.

Mengikut sejarah, jambatan bailey Labuaya pernah runtuh sekali berpunca digunakan kenderaan berat membawa muatan berlebihan 30 tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata JKR pernah memberi jaminan tiada penggunaan paku dalam pemasangan papan lantai jambatan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya kerana ada pengguna merunggut tayar kenderaan mereka bocor ketika menggunakan jambatan itu dipercayai terkena benda tajam.

 

Berita Harian