Anda sebenarnya bernasib baik kerana sebuah model istimewa bakal dipamerkan pada acara Tokyo Auto Salon 2024 kelak.
Model Land Cruiser 70 Series berwarna hitam kusam (Black Cruiser 70) itu dibawakan khas oleh Toyota Auto Body, subsidiari pengeluaran Toyota yang bertanggungjawab menghasilkan trak, SUV, kenderaan komersial ringan dan minivan.
Di Jepun, Toyota Auto Body turut mempunyai sebuah kedai aksesori Land Cruiser BASE, di mana terdapat pelbagai jenis barangan spesifik dihasilkan untuk model tersebut.
Black Cruiser 70 akan menampilkan pelbagai jenis barangan aksesori yang unik untuk Land Cruiser 70 Series.
Warna luaran hitam kusam itu pula menggambarkan kemodenan dan keteguhan, selain melambangkan idea ia sebuah ‘kapal hitam’ yang membawakan pelbagai barangan aksesori tulen dari luar negara ke pasaran Jepun.
Selain Black Cruiser 70, Toyota Auto Body juga turut mempamerkan sebuah model klasik Land Cruiser 40 + 70.
Ia sebenarnya merupakan projek modifikasi yang menggandingkan badan retro Land Cruiser BJ40V ke atas casis HZJ71 yang lebih moden.
Selain pengubahsuaian terhadap badan diikuti dengan pemasangan radiator, Land Cruiser 40 + 70 ini dikatakan mematuhi piawaian pelepasan gas ekzos standard, menjadikannya sesuai dipandu atas jalan umum.
Terdapat juga pameran pelbagai jenis aksesori aftermarket yang dihasilkan khusus untuk Land Cruiser 70, di mana sebahagian besarnya boleh didapati secara rasmi menerusi kedai Land Cruiser BASE menjelang pertengahan tahun hadapan.