KTM Komuter Utara - KTMB sasar pertambahan 2,000 pengguna harian

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari RTM
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan peningkatan sehingga 2,000 pengguna perkhidmatan perjalanan Ipoh-Butterworth sehari susulan pembukaan tiga stesen baharu KTM Komuter Utara iaitu stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

Ketua Pegawai Korporat KTMB, Mohamed Suhaimi Yaacob berkata sebelum ini pengguna perkhidmatan komuter laluan itu hanya kira-kira 1,500 orang sehari.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya inisiatif itu akan turut memberi manfaat kepada penumpang dalam kalangan pekerja dan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Jadi, dengan adanya perkhidmatan KTM Komuter Utara yang membabitkan penambahan tiga stesen baharu ini akan meningkatkan jumlah pengguna kepada 2,000 orang.

“Ini akan lebih ketara apabila tiba pada waktu puncak termasuk pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Hari Terbuka KTMB 2023 bersempena dengan sambutan Hari Malaysia di Stesen KTM Ipoh, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Dalam pada itu, Mohamed Suhaimi berkata perkhidmatan KTM Komuter Utara membabitkan 20 perjalanan ulang alik melalui 23 stesen sehari.

“Kekerapan bagi satu kereta api komuter kepada satu komuter lain adalah satu jam bagi waktu biasa, sementara dua jam bagi waktu puncak.

“Namun, kami merancang untuk menambah baik sistem perkhidmatan ini dengan menambah lebih banyak bilangan gerabak pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Sze Yee berkata, pembukaan tiga stesen baharu bagi perjalanan komuter ke utara bermula hari ini bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri terutama menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Katanya lagi, ia memberi pilihan kepada pengguna yang mahu mengelakkan kesesakan trafik terutama di lebuh raya.

"Perkhidmatan ini akan merancakkan lagi pergerakan dua hala bukan sahaja dari segi komersial dan industri malah dalam aspek pelancongan," jelasnya.

Perjalanan dari stesen Butterworth ke stesen Ipoh mengambil masa selama satu jam 56 minit, dengan kadar tambang dewasa RM12.80 sehala, manakala kadar tambang konsensi bagi kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU) ialah RM6.40 sehala.

Tren pertama dari stesen Ipoh ke stesen Butterworth bermula 4.40 pagi, manakala dari stesen Butterworth ke stesen Ipoh pada 5.30 pagi, dengan tren terakhir yang beroperasi dari stesen Ipoh pukul 6.35 petang, sementara dari stesen Butterworth 7.10 malam.

 

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Informasi
  "KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai…
Informasi
"Enam perkhidmatan ETS adalah melibatkan dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Padang Besar -…
Berita Domestik
"Untuk itu kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan…