Kon dialih punca penunggang motosikal maut terbabas dalam lubang pembinaan

oleh Penyumbang Rencana|
Kejadian seorang penunggang maut dan dua cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terhumban ke dalam lubang pembinaan di Jalan Bukit Katil di Melaka, pada Khamis dipercayai berpunca daripada orang awam mengalihkan kon keselamatan.

Kejadian lebih kurang jam 6.30 pagi, menyebabkan mangsa Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 20, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka Bukit Beruang meninggal dunia di lokasi kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dari arah lampu isyarat Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil menghala ke lampu isyarat Hospital Pantai.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mereka telah masuk ke laluan yang telah ditutup dan dilencongkan dengan menggunakan kon oleh sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai telah dibuka oleh orang awam.

Katanya, situasi itu menyebabkan kesemua mangsa yang tidak nampak kerja-kerja pembaikan di lokasi kemalangan terbabas masuk ke dalam lubang terbabit.

"Mayat mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka manakala dua lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, siasatan lanjut pegawai penyiasat mendapati permukaan jalan ketika nahas berlaku adalah basah dan terdapat pencahayaan.

"Sehingga kini belum ada saksi bebas tampil memberikan keterangan lanjut dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiapkan laporan penuh punca kemalangan menyebabkan tiga motosikal terbabas dalam lubang pembinaan kerja-kerja pembaikan projek tebatan banjir hingga mengakibatkan seorang maut.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laporan dan siasatan lanjut itu penting bagi mengetahui sama ada berlaku kecuaian atau kelemahan oleh mana-mana pihak termasuk kontraktor sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal JKR dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta polis mendapati pihak kontraktor mematuhi arahan dan prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.

Katanya, ekoran insiden yang berlaku, pihaknya akan menambah baik pelan pengurusan trafik dan meningkatkan sistem pencahayaan jalan bagi memastikan kemalangan seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

"Walaupun syarat-syarat awal telah diikuti pihak kontraktor, namun JKR tetap akan membuat siasatan bersama pihak polis dan JKKP.

"Berapa lama tempoh untuk dapatkan laporan, kita tunggu laporan polis dan JKKP, selepas itu kita akan bersama untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembinaan sistem tebatan banjir yang berlaku kemalangan maut di Jalan Bukit Katil pada Khamis.

Hameed Mytheen Kunju yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, pihaknya juga akan memastikan projek yang dijangka siap pada tahun ini tidak ada sebarang gangguan melibatkan kon atau penghadang jalan diletakkan.

 

- salam takziah kepada keluarga mangsa -

 

Sinar Harian

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal…