Kia K5 2025 diperkenal di Amerika Syarikat, enjin 2.5 liter ganti 1.6 liter turbo

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pada November lalu Careta mengkhabarkan mengenai pengenalan Kia K5 untuk pasaran Korea.

Terbaru K5 menjejakkan tayar di Amerika Syarikat dan membawa misi bahasa reka bentuk Opposites United.

Paling menyerlah pada K5 2025 ialah rekaan lampu besar LED dengan lampu nyalaan siang LED Star Map.

Rekaan jeriji juga menonjol dan menampakkan sebuah muka depan yang garang dan sofistikated selain sepit ketam yang menjadi trend sekarang ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kia K5 2025

 

Pada bahagian sisi, K5 LXS diberi roda 16 inci manakala K5 EX dan GT-Line menggunakan saiz 18 inci.

K5 GT pula lebih besar dengan saiz 19 inci dan dipadan bersama tayar berprestasi Pirelli P-Zero 245/40. 

Satu lagi yang menarik pada K5 GT ialah angkup brek warna hijau terang berbanding warna merah dan riasan dalam turut menggunakan warna sama.

Jika bahagian depan menonjol, begitu juga dengan bahagian belakang. Bentuk sisi lampu tajam ke bawah dan seragam dengan lampu depan.

Imej garang K5 GT diteruskan pada sebaris rekaan bahagian bawah bampar dan muncung ekzos berkembar.

 

Kia K5 2025

 

Bahagian dalam kereta pula tipikal untuk kereta sekarang dan juga model Kia lain. Paparan untuk pemandu dan tengah digabung dalam skrin melengkung. 

Turut diubah panel kawalan suiz yang nampak moden dan ringkas selain konsol tengah dengan pemegang cawan lebih besar dan pad pengecas tanpa wayar.

Menggerakkan K5 2025 ialah enjin baharu 2.5 liter GDI THETA-III dengan kotak gear automatik lapan kelajuan yang menghasilkan 191 kuasa kuda (hp) dan tork 245Nm.

Angka itu 11 hp lebih tinggi berbanding enjin 1.6 liter turbo yang tidak lagi ditawarkan. Pelanggan K5 GT-Line boleh memesan pacuan depan atau semua roda.

 

Kia K5 2025

 

K5 GT pula kekal dengan enjin 2.5 liter T-GDI + MPI THETA-III yang memiliki kuasa 290 hp dan tork 422Nm. 

Berbeza dengan yang lain, K5 GT menggunakan kotak gear cekam berkembar lapan kelajuan dan memacu roda depan.

Sebagai perbandingan, K5 Korea dibekal enjin 2.0 liter, 2.0 liter hibrid, 1.6 liter turbo dan menariknya 2.0 liter LPi yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG).

Daripada K5 LXS, EX dan GT-Line yang ditawarkan, K5 GT nampak begitu menawan ketika ramai gemarkan kenderaan utiliti sukan! Pertahankan kepimpinan Kia (K) Punya (P) K5 GT (G)!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Kia K5 2025