Kia K5 2024 diperkenal di Korea, sedan garang bertambah garang, daripada RM99 ribu

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia K5 2024
Kia K5 2024
Kia K5 generasi kelima atau sebelum ini dikenali sebagai Optima diperkemaskan untuk pasaran Korea.

Sedan yang dikeluarkan sejak 2019 itu nampaknya terlepas daripada muka depan dan belakang tiga model lain seperti Picanto, Sorento dan Carnival.

Rekaan K5 sudah pun sedia menawan dan garang sejak awal lagi.

Penampilan K5 2024 membawa konsep Power to Progress di dalam bahasa reka bentuk Opposites United Kia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kia K5 2024 Korea

.

Bahagian depan tampil garang dengan lampu nyalaan siang Star Map Signature Lighting yang menjalar sampai ke bampar.

Kombinasi lampu belakang juga menonjolkan tema Star Map Lighting dan turut labuh hingga ke bampar.

Konsep lampu dengan air mata nampaknya menjadi trend yang sebelum ini boleh dilihat pada Mitsubishi Pajero Sport dan Neta V.

Rekaan begitu pada belakang K5 nampak janggal buat pertama kali dan mungkin disebabkan sudut gambar yang dirakamkan.

 

Kia K5 2024 Korea

 

Bahagian sisi kereta yang sedia anggun diserikan rim corak baharu dan nampak tajam.

Dalaman K5 diberikan papan pemuka baharu yang selari dengan trend semasa dan tampil kemas.

Skrin panoramik melengkung saiz 12.3 inci menyatukan paparan untuk pemandu dan maklumat hibur.

Konsol tengah direka semula dengan batang gear diganti tombol berputar.

 

Kia K5 2024 Korea

 

Satu fungsi canggih pada K5 ialah Kia Digital Key 2 yang membolehkan pengguna membuka pintu dan menghidupkan enjin menggunakan telefon atau jam pintar.

Juga canggih ialah sistem pengesahan cap jari. Bergantung kepada varian, K5 dilengkapi sistem bunyi premium KRELL 5.1 saluran dengan 12 pembesar suara.

Kemas kini sistem dibuat secara dalam talian (over the air).

Lagi kelengkapan seperti amaran getaran stereng, amaran jarak parkir sisi dan bantuan pengelakan pelanggaran parkir belakang.

 

Kia K5 2024 Korea

 

Tidak sekadar penampilan dan teknologi, Kia turut memfokuskan pada pemanduan.

Para jurutera mengoptimumkan karakteristik dan bahan suspensi depan dan belakang untuk meningkatkan keselesaan dengan menyerap gegaran jalan dengan lebih berkesan.

Bahan pada sudut pertemuan badan kereta dan cermin depan diperkukuhkan.

Kaca dua lapisan untuk menebat bunyi dipasang pada cermin utama dan sama untuk dua tempat duduk depan.

 

Kia K5 2024 Korea

 

Menggerakkan K5 ialah pilihan enjin 2.0 liter petrol, 2.0 liter hibrid, 1.6 liter turbo dan menariknya 2.0 liter LPi yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG).

Ada beberapa warna yang ditawarkan termasuk dua pilihan baharu seperti Wolf Gray, Moonscape Matte Grey, Sand, Martian Brown dan hitam.

Turut ditawarkan pakej Black Fit dengan pelapik bumbung suede, cermin sisi, peresap, muncung ekzos dalam warna hitam dan pilihan rim 18 atau 19 inci.

Kia K5 2024 dijual dari 27.84 juta won (RM99,077) hingga 39.54 juta won (RM140,719).

 

Kia K5 2024 Korea

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin