Kerajaan sedia tingkat mutu perkhidmatan sistem rel negara

oleh Mohamad Hanif|
Satu kajian mengenai sistem rel di negara ini dan bagaimana rangkaian pengangkutan itu dapat diguna sepenuhnya akan dilakukan.

Justeru, pihak swasta dijemput untuk mencadang dan melabur serta menyewa landasan yang sedia ada.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia juga sebagai sebahagian langkah untuk mengurangkan kesesakan jalan raya akibat pertambahan jumlah kenderaan persendirian seperti yang termaktub dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

“Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, Kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Ini termasuk membekalkan rel elektrik berkembar.

“Penggunaan rel masih ditahap yang rendah. Kenderaan berat masih banyak menggunakan jalan-jalan raya. Adanya kenderaan berat dan besar di jalan raya mengundang kemalangan. Adalah lebih baik jika freight yang besar dan berat menggunakan sistem rel sedia ada.

“Jika sistem yang ada sekarang tidak mencukupi, Kerajaan akan berusaha untuk menambah kemudahan ini dan pendapatan akan bertambah jika sistem rel lebih diguna untuk muatan barangan, terutama yang berat dan besar,” katanya ketika berucap semasa melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di sini pada Khamis.
 


Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memberi jaminan Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan rel sama ada untuk pengangkutan penumpang mahupun barangan dengan menaik taraf rangkaian rel sedia ada dan membangunkan jajaran baharu keretapi seperti landasan cawangan Bukit Kayu Hitam dan Landasan Pintasan Serendah – Pelabuhan Klang.

“Semakin ramai juga turut memilih perkhidmatan ETS, LRT, MRT dan sebagainya untuk perjalanan mereka. Saya difahamkan bahawa tiket ETS sering habis terjual terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah.

“Bagi menambah baik perkhidmatan penumpang pula, Kerajaan sedang dalam proses perolehan set ETS dan Monorel yang baharu,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut menegaskan keperluan menyediakan kemudahan kepada golongan berkeperluan khas seperti orang kelainan upaya termasuk ruang dan laluan khas di terminal dan di dalam kenderaan pengangkutan awam seharusnya disediakan dengan mencukupi.

Sumber: Astro Awani

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Huzaimi Noh Omar, pengarah unit mobiliti rendah karbin GreenTech memberitahu FMT berkata, ini…