Kenapa Litar Nurburgring digelar Neraka Hijau?

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Litar Nurburgring, satu nama yang sudah tidak asing lagi bagi peminat sukan permotoran dan automotif dunia. 

Litar yang terletak di Nurburg, Jerman ini merupakan lokasi pengujian paling popular bagi pengeluar supercar, sports car malah SUV seperti Land Rover Defender baharu juga turut diuji di litar ini. 

Ia mempunyai empat konfigurasi iaitu:

Gesamtstrecke - pusingan penuh (28.265 km)
Nordschleife - litar Utara (22.810 km)
Südschleife - litar selatan (7.747 km)
Zielschleife - litar panas badan (2.281 km)

Namun, litar yang paling terkenal sudah tentu Nordchleife yang digunakan untuk perlumbaan, sesi ujian serta turut dibuka kepada orang awam!
 


Dengan jumlah jarak sejauh 22.8 km, Litar Nordschleife ini mempunyai kira-kira 160 buah selekoh yang mampu mengambil masa kurang 10 minit jika skill anda hebat dan tiada sebarang kemalangan berlaku. 

Kedudukannya yang terletak di tengah-tengah hutan yang menghijau dikelilingi bukit bukau membolehkan anda menikmati pemandangan yang mengasyikkan daripada langit membiru, kabus tebal, salji dan ais membeku - dan kesemua ini boleh berlaku dalam masa hanya 24 jam.

Namun, gelaran Neraka Hijau ini sebenarnya diperoleh daripada pelumba Scotland dan juara Formula 1 tiga kali, Jackie Stewart. 
 


Menyifatkan pemanduan di Litar Nurburgring sebagai satu kepuasan, namun beliau mengakui masih takut dengan apa yang ditawarkan oleh Neraka Hijau itu. 

"Ketika saya meninggalkan rumah untuk ke German Grand Prix, saya selalu berhenti di hujung jalan dan mengambil masa untuk melihat kembali ke arah rumah.

"Saya tidak pernah berasa yakin untuk kembali lagi ke rumah selepas habis perlumbaan (di Nurburgring)," ujar beliau. 

Ia tidak menghairankan apabila seorang pelumba berpengalaman menyifatkan Litar Nurburgring sebagai Neraka Hijau. 
 


Akibat lokasi, fizikal litar yang berliku dan keadaan cuaca yang tidak menentu, Litar Nurburgring pernah nyaris meragut nyawa Niki Lauda pada tahun 1976, dan beberapa kes kemalangan ketika Grand Prix 2007 akibat aquaplanning. 

Namun, lebih banyak kemalangan dan kematian dilaporkan apabila Litar Nurburgring dibuka kepada orang awam, sehinggakan pada tahun 2004, Jeremy Clarkson (personaliti Top Gear pada ketika itu) melaporkan litar tersebut telah meragut lebih 200 nyawa. 

Pun begitu, ia masih tidak menghalang orang ramai daripada terus mengunjungi Litar Nurburgring yang dibuka setiap hari (kecuali ketika musim perlumbaan). 
 


Pada hari terbuka, pihak pengurusan membenarkan apa jua jenis kenderaan yang berdaftar di atas jalan untuk melalui kawasan litar - motosikal, bas, van komersil sehinggalah kepada kereta sedan.

Beberapa peraturan yang perlu dipatuhi, seperti bayaran tol sebanyak $35 (RM146.51), dilarang memotong di sebelah kanan, dan sesetengah seksyen dikenakan had laju. 

Namun, pihak pengurusan tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku apa jua kemalangan, dan anda perlu membayar ganti rugi untuk setiap kerosakan dan penambahan masa penutupan litar melebihi had yang dibenarkan.
 


Walau apapun, Nurburgring kekal sebagai sebuah litar perlumbaan yang paling mencabar di dunia dan gelaran Neraka Hijau merupakan nama yang sesuai dipadankan dengan Litar Nurburgring, kerana sifatnya yang begitu mencabar, serta lokasinya yang dikelilingi hutan dan bukit-bukau yang menghijau. 

Sebagai penutup, sila nikmati video pemanduan Porsche GT3 RS melawan sebuah Mercedes-AMG GT "Beast of the Green Hell" di litar Nurburgring. 

 

Sumber: Wikipedia, Evo, Green Hell Guides

Berita Berkenaan

Berita Global
Laman media sosial litar Neraka Hijau Nurburgring Ahad lalu telah memuat naik sekeping gambar yang…
Berita Global
Model pra-produksi Taycan yang bakal dilancarkan kelak itu kini merupakan model elektrik Porsche…
Berita Global
Ini kerana pengeluar kereta elektrik dari Croatia, Rimac telah berjaya memecahkan rekod pusingan…