JSPT - Ekzos bising tak buat motosikal jadi power!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ubah suai ekzos motosikal tidak boleh menambah kelajuan se­perti yang dipercayai oleh keba­nyakan mat rempit, sebaliknya ia hanya mendatangkan bunyi bi­sing dan mengganggu ketenteraman awam.


Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu lintas, Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, mitos itu menjadi kepercayaan mat rempit hingga mendorong mereka berlumba-lumba untuk me­lakukan kesalahan itu.

 

Katanya, siasatan mendapati, mat rempit mengubah suai ekzos motosikal masing-masing ha­nyalah semata-mata mahu me­nunjukkan ego dan menda­tangkan ancaman kepada pe­saing ketika berlumba.

 

“Siasatan mendapati, tindakan itu tidak mampu memberikan kelajuan kepada sesebuah motosikal, sebaliknya ia sekadar untuk memberi persaingan bunyi kepada lawan.

 

“Ramai ingat bila ubah suai ekzos motosikal, kelajuannya akan meningkat. Itu tidak benar sama sekali. Kapasiti cc motosikal de­ngan kelajuan adalah seiring dan tiada kena mengena dengan ekzos,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

 

Tambahnya, tindakan me­ngubah suai ekzos motosikal bukan sahaja boleh menjejaskan ketenteraman awam dan ke­selamatan komuniti serta pengguna jalan raya, malah ia mampu mencetuskan pergaduhan dalam masyarakat.

 

Menurut Mohd. Nadzri, ia terbukti apabila terjadi satu kes di mana seorang lelaki menyerang lima remaja yang dipercayai be­ngang dengan bunyi bising ekzos motosikal masing-masing di kawasan Sepang pada Mei 2018.

 

“Jiran pemilik motosikal tersebut sebelum itu beberapa kali menegur perbuatan mereka yang sering membuat bising dengan menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi ekzos bi­sing,” ujarnya.

 

Katanya, JSPT telah merancang satu operasi khas ‘bunyi bising’ yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi pe­nguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar sepanjang masa di seluruh negara.

 

“Saya akui ada yang menyarankan PDRM menerusi JSPT agar memberi tumpuan kepada operasi pemandu mabuk berbanding memeriksa ekzos motosikal. Sebenarnya, kedua-dua isu tetap dalam pemantauan dan pemerhatian kita.

 

“Menjadi tanggungjawab PDRM untuk melindungi dan menjaga keselamatan serta ke­selesaan masyarakat, komuniti dan pengguna jalan raya dari terbelenggu dengan isu pengubahsuaian ekzos yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya.

 

 

Abang Wazi kita pun pernah sebut tentang perkara ini, boleh baca semula di sini

 

K.Online

Berita Berkenaan

Berita Global
Jadi, jika anda memiliki kereta yang bising dan tinggal di bandar New York, anda mungkin bakal…
Berita Domestik
  Pada masa sama, anggota tersebut telah ‘memerah throttle minyak’ sehingga mengeluarkan bunyi…
Berita Domestik
  "Mangsa ditampar dan dipukul. Beberapa rakan lelaki terbabit turut datang dan memukul remaja…