'Jalan raya' RM800 juta - 2 pengarah syarikat ditahan

oleh Mohamad Hanif|
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan dua pengarah syarikat di sini kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit daripada Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung pelaksanaan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak bernilai RM800 juta.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan.

Sumber berkata, semua mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak tadi.

Menurut sumber itu, projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan "Projek Jiwa Murni" ini di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2010 hingga 2016.

Tambahnya, banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi. Ada antara jalan-jalan ini tidak lagi dapat digunakan dan rosak selepas beberapa bulan dibina.

"Kawasan-kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga.

"Hasil kajian teknikal mendapati jalan-jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya.

"Jalan-jalan ini hanya diletakkan lapisan TAR yang dianggarkan hanya setebal 2 inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti mana dalam syarat kontrak. Ini menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori-lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman," katanya.

 


Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih serta menaiktaraf jalan-jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

"Ini menyebabkan kos bagi membaikpulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

"Selain itu, sumber menjelaskan bahawa perkara yang paling mengejutkan ialah mengenai perlantikan empat kontraktor baru oleh JKR Negeri.

"Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaiktaraf dan membaikpulih jalan-jalan berkenaan disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan," katanya.

Seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan saspek perlu disenarai hitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya. Mereka harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan.

"Tetapi sebaliknya apa yang berlaku, mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

"Kedua-dua Pengarah syarikat ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

" "Siasatan kini dijalankan mengikut seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Sementara ituTimbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi wartawan Harian Metro mengesahkan penahanan itu.

Menurut beliau, siasatan kes ini dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek ini.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
Menurut beliau, usia sesuatu jalan raya itu kebiasaannya hanya mampu bertahan antara 20 hingga 25…
Berita Domestik
Susunatur Rekabentuknya juga boleh dibahagikan kepada dua jenis susunatur: Susunatur tipikal di…
Informasi
Mohd Sany berkata, teknologi menghasilkan pantulan cahaya daripada lampu kenderaan itu merupakan…