Jalur rentas kuning yang tebal - lebih merbahaya kepada kenderaan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Penggunaan jalur rentas kuning atau "yellow traverse bar" di jalan raya adalah sesuatu yang lazim.

Menurut informasi dari JKR, jalur rentas kuning merupakan satu daripada tanda jalan atau amaran kepada pengguna jalan raya supaya berwaspada dan mengawal halaju kenderaan.

Ia adalah salah satu kaedah yang boleh digunakan mengikut kriteria dan kawasan yang bersesuaian serta disediakan secara melintang pada permukaan jalan raya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Susunatur

Rekabentuknya juga boleh dibahagikan kepada dua jenis susunatur:

Susunatur tipikal di mana jalur semakin merapat hampir pada kawasan kritikal seperti persimpangan, bulatan, lintasan pejalan kaki dan sebagainya.

Susunatur kelompok/amaran di mana ia sesuai untuk kawasan yang tiada kemungkinan kenderaan akan berhenti, seperti selekoh, bonggol jalan dan sebagainya.

Spesifikasi

Tandaan jalur rentas kuning dibuat melintang, dan meliputi seluruh jalan sehingga ke garisan tepi jalan.

Menurut informasi JKR lagi, ia perlu disediakan di bahagian jalan yang lurus sahaja bagi mengelakkan risiko kemalangan. Lebarnya pula ialah antara 300 ke 600 mm untuk setiap jalur dan ketebalannya ialah 2.5 mm sahaja.

DI bawah ialah garis panduan jalur rentas kuning mengikut JKR.

 

Masalah sebenar

Ramai pengguna yang mengadu kepada Careta berkaitan masalah jalur rentas kuning.

Rata-rata aduan adalah lebih kepada saiz dan juga ketebalan jalur serta lokasi ia diletakkan.

Kami bertanya kepada mereka yang arif di dalam pembinaan jalan raya dan lebuh raya berkaitan isu itu dan mendapat pelbagai pandangan.

Menurut seorang sumber industri pembinaan lebuhraya di dalam negara, ketebalan yang sebenarnya digunakan ialah antara 2.5 hingga 5.0 mm.

"Ada yang terlebih tebal, dan ada yang terlebih lebar," jawabnya kepada soalan kami.

Bila ditanya apa puncanya ia tidak dibuat menurut piawaian yang sepatutnya, jawapan beliau cukup mudah dan ringkas.

"Kurang atau tiada pemantauan."

 

 

Menurut Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran MIROS, penggunaan jalur rentas kuning ini sepatutnya selamat jika ia dibina menurut piawaian JKR.

Namun begitu, Marizwan berpendapat jalur yang terlalu tebal adalah merbahaya untuk motosikal kerana ia mengganggu dinamik kenderaan dan juga fokus penunggang.

"Jalur rentas kuning ini juga tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh digunakan dengan terlalu kerap kerana objektifnya akan hilang dan pengguna jalan raya akan hilang punca kenapa wujud jalur-jalur itu," sambungnya lagi.

Marizwan berkata fungsi sebenar jalur rentas kuning ini bukannya untuk memperlahankan kenderaan, terutama di lebuh raya.

 

 

"Di laluan yang laju seperti lebuh raya, cara paling berkesan untuk memperlahankan kenderaan ialah dengan kamera halaju atau pemantauan undang-undang yang lebih ketat.

Penggunaan jalur rentas kuning sepanjang laluan menurun bukit tidak akan memperlahankan kenderaan," ujarnya lagi.

Careta berpendapat bahawa kementerian terbabit perlu mengkaji semula usaha ini dan mungkin juga perlu diwujudkan kembali jabatan khusus untuk memantau penggunaan kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) di lokasi-lokasi yang sepatutnya.

Penggunaan kamera AWAS bergerak juga mungkin boleh diwujudkan kembali di mana ia diletakkan di kawasan bermasalah sehingga tahap kemalangan menurun.

Antara tempat yang dicadangkan oleh orang ramai ialah laluan menuruni terowong Menora di lebuh raya PLUS dan juga laluan di Terowong Genting Sempah di lebuh raya KL - Karak.

Mungkin pembaca sendiri boleh kongsikan lokasi atau laluan lain yang anda rasa perlu diletakkan kamera AWAS.