
Pada tahun berikutnya, Ducati memperkenalkan lampu depan LED untuk Streetfighter 1100.
Pada 2010 Ducati memperkenalkan Mod Tunggangan untuk Multistrada 1200 S dan disusuli pelbagai lagi perkakasan elektronik.
Pada 2014 Ducati dan Dainese memperkenalkan motosikal pertama dengan sistem bersepadu yang boleh berkomunikasi dengan beg udara pada jaket.
Model yang dimaksudkan ialah Multistrada 1200 Touring D|Air.

Sistem itu berfungsi dengan Multistrada menghantar isyarat pengaktifan hanya dalam masa 20 milisaat sewaktu kemalangan atau tergelongsor.
Satu lagi pencapaian penting ialah pengenalan radar yang pertama untuk motosikal pada 2020. Multistrada V4 dilengkapi Kawalan Jelajah Adaptif dan Pengesanan Titik Buta.
Tahun 2023 pula menyaksikan Multistrada V4 Rally dilengkapi sistem pemanjangan nyahaktif dengan menghentikan operasi dua silinder belakang.
Sistem itu mampu mengurangkan penggunaan petrol dan haba. Kesemua teknologi yang diperkenalkan bukan setakat inovasi tetapi menjadi revolusi dunia dua roda.

Pencapaian tersebut disumbang oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan (P&P) Ducati.
Bukan sahaja memperkenalkan penyelesaian teknikal kepada pasaran, mereka juga bekerja keras untuk memperbaharui dan menyempurnakan motosikal sedia ada.
Apabila teknologi berkembang pesat, pemilik model terdahulu atau dalam konteks Ducati model sama tetapi hanya berbeza tahun tidak ditinggalkan.
Sebagai contoh sistem Minimum Preload dan Easy Lift yang baru diperkenalkan dipasang dan dinikmati secara percuma buat pemilik Multistrada V4 sedia ada.

Adalah menjadi kebiasaan untuk sesebuah model dibezakan mengikut varian dan harga.
Namun kesemua motosikal Ducati dilengkapi teknologi ABS Cornering dan Kawalan Cengkaman sebagai ciri standard.
Pendekatan Ducati dalam membangunkan teknologi yang akan diperkenalkan ialah dengan bekerjasama dengan pembekal.
Tanpa berselindung dan boleh dilihat pada motosikal Ducati ialah nama hebat seperti Pirelli, Brembo, Bosch dan beberapa lagi pembekal lain.

Pendekatan tersebut lebih bermakna terutama sekali melibatkan sistem elektronik yang membolehkan Ducati mempunyai kawalan penuh terhadap teknologi yang digunakan.
Teknologi tersebut boleh disesuaikan tanpa halangan dan mengikut penggunaan dari Panigale V4, Scrambler, Streetfighter dan lain-lain model.
Keghairahan inovasi dalam elektronik turut selari dengan perkembangan pesat jabatan Sistem Elektrikal & Elektronik Ducati.
Input yang digunakan turut melibatkan pengalaman dari litar lumba. Satu keperluan dalam P&P ialah makmal.

Ducati mempunyai beberapa kemudahan dalaman untuk menjalankan ujian dan tidak semestinya perlu bergantung kepada sumber luar atau pembekal.
Satu daripadanya ialah Pengujian Elektrikal & Elektronik.
Proses kerja itu mempunyai serampang dua mata, iaitu menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku semasa fasa pembangunan dengan pantas.
Matlamat kedua ialah mengawasi kualiti motosikal yang sudah ada di pasaran.

Pengujian di makmal Elektrikal & Elektronik melibatkan pelbagai aspek seperti suhu, cuaca dan penggunaan robot untuk menilai komponen motosikal.
Lebih teliti apabila penilaian turut melibatkan penelitian cip di bawah mikroskop bagi menentukan standard mengikut spesifikasi pembangunan.
Satu lagi yang diberi perhatian ialah perisian dan aplikasi telefon pintar supaya dapat berfungsi dengan lancar.
Nampak rumit? Seperti yang dikatakan, Ducati adalah kombinasi kepada keanggunan dan teknologi.

Inovasi pada model Ducati dan pertama untuk motosikal:
- 2008: Kawalan Cengkaman (DTC Traction Control) - 1098 R
- 2009: Lampu depan LED - Streetfighter 1100
- 2010: Mod Tungganan - Multistrada 1200 S
- 2011: Skrin TFT - Diavel
- 2012: Pengurusan Brek Enjin Elektronik (EBC) dan lampu depan LED penuh - Panigale 1199
- 2021: Kawalan Jelajah Adaptif / Pengesanan Titik Buta - Multistrada V4
- 2023: Pemanjangan Nyahaktif - Multistrada V4 Rally
Penulis: Muhammad Md Tajudin
