Ini ŠKODA Slavia, direka oleh pelajar sekolah vokasional ŠKODA!

oleh Muhammad Md Tajudin|
ŠKODA Slavia
ŠKODA Slavia
Bagi memahami sesuatu pelajaran terutama yang melibatkan perkara teknikal, teori dan amali perlu berjalan seiring dan pendedahan kepada dunia sebenar adalah satu aspek penting buat pelajar. 

Ini yang berjaya diamalkan oleh pelajar sekolah vokasional ŠKODA dengan menghasilkan kereta projek ŠKODA Slavia.

Sekolah vokasional ŠKODA yang terletak di Mladá Boleslav merupakan institusi pendidikan ternama dan ditubuhkan pada 1927.

Sehingga kini sekolah tersebut berjaya menghasilkan lebih 23,000 pelajar dan sekarang ini mempunyai 900 pelajar di bawah 13 kursus teknikal berbeza.

Apakah kelebihan penuntut di bawah sekolah ini? Setiap graduat yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan di ŠKODA AUTO.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
ŠKODA Slavia

 

Pada 2013, sekolah vokasional menjadi sebahagian daripada Akademi ŠKODA dan sejak dari itu mempunyai tradisi baharu dalam bentuk projek kereta pelajar.

Program tahunan ini membolehkan bakat muda untuk mereka bentuk kenderaan termasuk dibina oleh mereka sendiri.

Projek kenderaan pertama dihasilkan ialah CITIJET pada 2014 yang merupakan versi dua pintu ŠKODA Citigo.

ŠKODA Slavia pula adalah Kereta Konsep Pelajar ŠKODA ketujuh dan direka oleh 31 pelatih.

Ini adalah model istimewa sebagai penghormatan kepada ulang tahun ŠKODA AUTO dan memperingati nama basikal pertama dihasilkan Václav Laurin dan Václav Klement selepas mereka menubuhkan syarikat pada 1895.

Dari draf pertama sehingga membina kereta, para pelajar menyiapkan setiap fasa secara sendiri dengan sokongan daripada tenaga pengajar dan juga pakar ŠKODA dalam bidang reka bentuk, pengeluaran dan pembangunan teknikal.

 

ŠKODA Slavia

 

ŠKODA Slavia yang menarik dengan gaya badan tanpa bumbung (Spider) dibina dari model kompak ŠKODA Scala. Reka bentuk menawan dipadan dengan enjin Scala 1.5 TSI petrol berkuasa 150 PS dan transmisi tujuh kelajuan DCT.

Komponen lain turut dikekalkan seperti gandar depan dan belakang, stereng, perkakasan elektronik penuh termasuk pendawaian dan sistem bantuan, panel instrumen, Virtual Cockpit dan sistem maklumat hibur.

Selain mengambil nama motosikal pertama, para pelatih mengambil inspirasi daripada ŠKODA 1100 OHC tahun 1957 yang merupakan sebuah kereta prototaip perlumbaan dua pintu bumbung terbuka (open top) yang direka oleh ŠKODA untuk perlumbaan tahan lasak.

Badan kereta diperbuat daripada glass fibre‑reinforced plastic dengan berat hanya 550 kg. Kereta itu dikuasakan enjin 1.1 liter empat silinder dengan output 92 PS dan mampu memecut sehingga 190 hingga 200 km/j bergantung kepada nisbah gandar.

 

ŠKODA Slavia

 

Bagi mengubah model asal Scala kepada Slavia dengan bumbung terbuka seperti ŠKODA 1100 OHC, banyak ubahsuai dilakukan termasuk mengukuhkan bahagian bawah badan, menanggalkan bumbung dan mengimpal pintu belakang.

Untuk mengalirkan semula aliran udara ke atas kereta, para pelatih membina penutup khas dengan speedster humps berkembar di belakang kerusi yang landai ke belakang dan bertemu spoiler berwarna hitam.

Bahagian luar dikemaskan lagi dengan roda 20 inci daripada ŠKODA Kodiaq vRS manakala sistem brek dan hub roda diambil dari Octavia vRS. 

Bahagian bawah kereta yang direka semula menempatkan sistem ekzos yang diubahsuai.

 

ŠKODA Slavia

 

Warna yang menyerlah pada ŠKODA ini ialah White Crystal Blue dengan tiga lapisan yang menghasilkan kilau mutiara kebiruan dan dikontra pula kemasan hitam pada apron depan dan belakang serta skirt sisi.

Warna lampu ambien iaitu biru, merah dan putih merupakan lambang kepada tiga warna bendera Czech.

Bahagian dalam dipasangkan tali keledar empat sudut dan kerusi perlumbaan SPARCO dan komponen lain tampil dengan ubahsuai custom made.

Satu lagi ciri menarik ialah bahagian but Slavia memuatkan dua skuter elektrik ŠKODA yang boleh dilipat dan digunakan untuk pengangkutan jarak akhir (last mile).

Melalui kemasan yang ditonjolkan ini ŠKODA Slavia sebenarnya kelihatan seperti sebuah kereta produksi yang siap dijual untuk orang ramai.

Ini adalah projek sekali sahaja (one-off) yang berjaya memberi pengalaman berharga untuk para pelajar. Kemas dan cantik!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Model segmen C Skoda ini masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan (Limo) dan wagon (Combi) untuk…
Berita Global
  Škoda Auto menyasarkan untuk mempunyai 30 pengedar dan potensi jualan tahunan lebih 40,000 unit…
Berita Global
  Kepercayaan itu bukan baharu dan Škoda telah membangunkan enjin MPI untuk siri tersebut dan…