Ini fungsi butang Audi RS Q e-tron untuk Rali Dakar, macam kapal terbang!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Audi RS Q e-tron
Audi RS Q e-tron
Kereta lumba berprestasi tinggi mempunyai banyak butang di papan pemuka. Ada yang tertanya tak, butang banyak-banyak tersebut apa fungsinya?

Kepada yang ingin tahu, ini maklumat yang dikongsikan Audi tentang butang kawalan RS Q e-tron untuk perlumbaan Rali Dakar.

Menariknya, jentera itu adalah di antara kereta lumba generasi baharu dengan teknologi elektrifikasi dan paparan digital.

Di dalam perlumbaan rali tugas di antara pemandu dan jurupandu arah memang jelas. 

Pemandu tugasnya memandu manakala jurupandu arah memberikan maklumat laluan perlumbaan.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Audi RS Q e-tron

 

Sekarang ini sudah berubah, buku laluan (roadbook) bertukar kepada digital dan pemandu dan jurupandu arah Audi RS Q e-tron perlu bermain dengan pelbagai butang untuk operasi jentera mereka.

Tugas mengemudi seperti mengawal stereng, memecut dan membrek Audi RS Q e-tron diberi kepada tiga pemandu iaitu Mattias Ekström, Stéphane Peterhansel dan Carlos Sainz.

Mereka bertiga memang handal dan terkenal di dalam perlumbaan rali.

Dari tiga tugas utama tersebut mereka tidak perlu lagi menukar gear seperti biasa memandangkan Audi RS Q e-tron menggunakan pacuan elektrik.

Tuil brek tangan masih dikekalkan dan menggunakan sistem brake-by-wire dengan gabungan brek hidraulik dan sistem pemulihan tenaga.

Fungsi tersebut bermakna pemulihan tenaga akan berlaku apabila pemandu menarik brek tangan atau menekan brek kaki.

 

Audi RS Q e-tron

 

Berikut pula adalah fungsi-fungsi butang kawalan pada kokpit Audi RS Q e-tron:

Stereng

  • Ada lapan butang pada stereng, di antaranya untuk mengawal fungsi asas seperti hon dan penggilap cermin.
  • Turut mempunyai fungsi kemasukan data ke dalam perisian apabila pemandu mahu memasukkan perubahan pada cop waktu (time stamp).
  • Penghad kelajuan untuk digunakan pada laluan yang mempunyai had kelajuan maksimum.

Paparan atau skrin

  • Paparan di sebalik stereng membekalkan maklumat seperti kelajuan, tekanan tayar dan indikator pacuan iaitu ke depan, mengundur atau neutral. 
  • Paparan tersebut turut mengandungi amaran penting supaya pemandu dapat bertindak segera jika berlaku penutupan sistem secara tiba-tiba atau pemutusan bateri yang bervoltan tinggi.
  • Dua lagi paparan bersaiz kecil membawakan maklumat seperti arah kompas dan kelajuan semasa.
  • Paparan pada bahagian tengah mempunyai pelbagai maklumat seperti tekanan tayar, keseimbangan brek yang dipilih dan sistem brake-by-wire.
  • Maklumat tersebut mempunyai warna tersendiri, hijau tiada masalah manakala merah ada yang tidak kena.

 

Audi RS Q e-tron

 

Panel suis

  • Berada di bahagian bawah skrin tengah.
  • Ada 24 butang untuk pelbagai kawalan seperti pra tetapan kelajuan maksimum dan pengaktifan penyaman udara.
  • Panel tersebut turut mempunyai mukasurat berbeza dengan 24 butang boleh ditetapkan untuk fungsi berasingan.
  • Sekiranya berlaku kerosakan, sistem berasingan itu boleh dipadamkan (fail safe) sementara sampai ke destinasi dan berada di dalam mod kecemasan.
  • Pengoperasian panel suis dibuat oleh jurupandu arah mengikut permintaan pemandu.

 Buku laluan digital

  • Untuk Rali Dakar, laluan peringkat perlumbaan hanya akan diberikan 15 minit sebelum perlumbaan dimulakan setiap pagi.
  • Maklumat buku laluan kini tertera pada dua skrin tablet di hadapan jurupandu arah.
  • Buku manual hanya boleh digunakan jika tablet tidak berfungsi. 
  • Skrin tersebut menggunakan dua alat kawalan jauh yang disambung dengan kabel.
  • Skrin kanan memaparkan navigasi GPS dan mengesahkan arah laluan digital (waypoints) yang mesti dilalui oleh pelumba.
  • Skrin kiri menunjukkan maklumat laluan.
  • Sistem GPS membantu penganjur untuk memeriksa laluan yang digunakan pelumba dan juga kelajuan pada zon yang ditetapkan. 

 

Audi RS Q e-tron

 

Sistem keselamatan

  • Sistem keselamatan Iritrack berada pada konsol tengah dan digunakan ketika kecemasan.
  • Sistem itu membantu penganjur merekodkan kelajuan, kedudukan kenderaan dan boleh mengesan jika berlaku kemalangan.
  • Semasa kecemasan, jurupandu arah boleh memaklumkan kepada penganjur tentang keadaan semasa atau bantuan yang diperlukan dan juga membantu peserta lain.

Dengan pelbagai tugas boleh dilakukan secara digital tidak bermakna perlumbaan semakin senang diharungi. Ianya tetap bergantung kepada skil pemandu dan jurupandu arah.

Tambahan pula mengoperasikan pelbagai butang turut mempunyai cabaran tersendiri!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Audi RS Q e-tron

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Penawaran Ducati DesertX tersebut telah dikemaskini untuk model tahun 2023 dengan membawakan liveri…
Sukan Bermotor
Audi RS Q e-tron tampil dengan trenkuasa elektrik, namun disebabkan ketiadaan infrastruktur…