Audi RS Q e-tron - 'UFO' yang bakal berentap dalam Rali Dakar

oleh Mohamad Hanif|
Nampak macam sebuah UFO, akan tetapi ia sebenarnya merupakan sebuah jentera rali yang bakal berentap di Kejohanan Rali Dakar pada tahun hadapan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Audi RS Q e-tron tampil dengan trenkuasa elektrik, namun disebabkan ketiadaan infrastruktur pengecasan terutama di tengah padang pasir, pendekatan yang digunakan adalah sedikit berbeza.

 


Ini kerana walaupun bateri 50 kWh seberat 370 kg itu berupaya membenarkan jarak sehingga 800 km, ia turut mendapat kuasa daripada enjin 2.0 liter TFSI yang bertindak sebagai generator untuk mengecas unit bateri tersebut.

Selain itu, Audi RS Q e-tron ini didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar) yang diperoleh daripada jentera Formula E FE07, menghasilkan 671 hp.

Menurut Audi, jentera RS Q e-tron ini berupaya memecut sepantas kurang 4.5 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 170 km/j.

 


Namun begitu, untuk tujuan perlumbaan seperti Rali Dakar, pihak penganjur masih lagi berdebat berkenaan had kuasa yang bakal ditetapkan terhadap trenkuasa elektrik tersebut.

Dari segi luaran, tidak dapat dinafikan bentuknya sedikit aneh, malah Audi mengakui sendiri ia seakan sebuah UFO sekiranya dilihat dari arah hadapan.

Menurut Audi, rekaan pada bahagian tersebut adalah disengajakan bagi mengelakkan sebarang kerosakan panel badan yang disebabkan ketika perlumbaan terutama selepas aksi loncatan.

Ini kerana jentera rali kebiasaannya akan mendarat dengan bahagian hadapan menjunam ke bawah dan suspensi hadapan yang termampat.

 


Untuk memastikan kawalan yang lebih meyakinkan, Audi RS Q e-tron ini dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar BF Goodrich.

Terdapat rekaan bonjolan yang disengajakan pada belakang pintu yang diinspirasikan daripada sayap sisi Audi R8, di mana ruang ini sebenarnya digunakan untuk meletakkan tayar simpanan!

Bahagian bumbung pula menampilkan liang kemasukan udara yang agak besar bertujuan untuk menyalurkan udara sejuk ke motor elektrik, serta sirip tengah dengan jalur LED yang bertindak sebagai lampu brek.

 


Audi bakal menampilkan tiga pasukan tersendiri bagi berentap di Rali Dakar, terdiri daripada gandingan Mattias Ekström dan Emil Bergkvist (Sweden), Stéphane Peterhansel dan Edouard Boulanger (Perancis) serta Carlos Sainz and Lucas Cruz (Sepanyol).

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Penawaran Ducati DesertX tersebut telah dikemaskini untuk model tahun 2023 dengan membawakan liveri…
Informasi
  Sekarang ini sudah berubah, buku laluan (roadbook) bertukar kepada digital dan pemandu dan…