Dari segi dimensi, Hyundai Kona Electric 2024 merupakan antara kereta terbesar di dalam segmen subkompak, dengan ukuran sepanjang 4,355 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,575 mm serta jarak antara roda sepanjang 2,660 mm.
Lebih besar berbanding Kona terdahulu, sudah pasti Kona terbaharu ini menyediakan ruang kabin yang lebih luas dan lebar.
Secara standard, Hyundai Kona hanya ditawarkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan (FWD), dengan kuasa bermula dari 154 hp untuk model Standard atau 214 hp untuk versi Long Range.
Daya kilas maksimum yang dihamburkan ialah sekitar 255 Nm untuk kedua-dua versi.
Selain itu, dua pilihan bateri turut ditawarkan, iaitu Standard dengan kapasiti bateri 48.4 kWh yang membenarkan jarak gerak 342 km, sementara versi Long Range pula tampil dengan bateri 65.4 kWh dengan jarak gerak sehingga 490 km (data kitaran WLTP).
Menurut Hyundai, bateri yang lebih besar menyokong pengecasan pantas di mana hanya 41 minit sahaja diperlukan untuk mengecas bateri dari 10-80 peratus.
Crossover elektrik itu juga didatangkan dengan ciri pra-tetapan bateri untuk memastikan ia beroperasi dengan lebih cekap terutama ketika musim sejuk.
Tidak cukup dengan itu, Kona Electric 2024 membawakan ciri mod pemanduan pedal tunggal i-Pedal, sistem regeneratif pintar, serta keupayaan Vehicle-to-Load (V2L) untuk pengecasan peralatan elektrik dan perkakas rumah.
Untuk ruang kabin pula, Hyundai Kona Electric dimuatkan dengan dua skrin lebar 12.3 inci, skrin paparan head-up (HUD), serta susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu.
Ketiadaan suis PRND di bahagian konsol tengah (telah dialihkan ke bahagian belakang stereng) membolehkan ruang tersebut dimaksimumkan untuk meletakkan barangan peribadi.
Ciri lain termasuklah sistem paparan keliling (SVM), sistem bunyi premium Bose, serta menyokong kemaskini over-the-air (OTA).