Hyundai Ioniq 5 N 2024 rasmi - crossover pantas 641 hp, 770 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Setelah dua tahun muncul di pasaran global, Hyundai akhirnya memperlihatkan varian crossover elektrik berprestasi tinggi Ioniq 5 N, di mana ia disifatkan sebagai langkah pertama di dalam strategi elektrifikasi syarikat berkenaan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Dari segi kuasa, Hyundai Ioniq 5 N membawakan konfigurasi dua motor elektrik, dengan jumlah kuasa 600 hp dan daya kilas 740 Nm.

Apabila fungsi N Grin Boost diaktifkan, kuasa tersebut boleh dipertingkatkan kepada 641 hp dan 770 Nm yang boleh bertahan dalam masa 10 saat sahaja.
 

ioniq 5 N


Dipadankan dengan sistem pacuan semua roda, Ioniq 5 N mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat (3.4 saat dalam mod N Grin Boost), sebelum mencapai kelajuan tertinggi 260 km/j.

Ioniq 5 N masih lagi mengekalkan teknologi bateri 800 voltan, dengan kapasiti 84.0 kWh dan pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 18 minit.

Berbanding model standard, Ioniq 5 N membawakan ukuran dimensi yang lebih rendah 20 mm, lebih lebar 50 mm dan lebih panjang 80 mm.
 

N


Rekaan luaran sememangnya lebih agresif, terima kasih kepada padanan splitter hadapan, kepak udara, tirai udara yang berfungsi, spoiler unik, diffuser belakang, penyeka kaca tambahan di belakang, serta set rim aluminium tempa 21 inci dengan balutan tayar Pirelli P Zero 275/35.

Struktur badan Ioniq 5 N sebenarnya mempunyai 42 poin kimpalan ekstra serta perekat tambahan sepanjang 2.1 meter yang bertujuan untuk meningkatkan tahap ketegaran casis, diikuti dengan pengukuhan pada kolum stereng.

Sistem brek terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 400 mm di depan, diikuti dengan rotor bersaiz 360 mm di belakang.
 

ioniq 5 N


Untuk ruang kabin, Ioniq 5 N membawakan roda stereng rekaan baharu dengan gugusan butang fungsi N (termasuklah N Grin Boost), paddle shifter baharu untuk sistem brek regeneratif, sokongan pelapik lutut dan betis untuk pemanduan litar, serta tempat duduk bucket N yang didatangkan standard.

Antara ciri yang dikhususkan untuk Ioniq 5 N termasuklah sistem N Pedal untuk pendikit yang lebih sensitif, sistem pengagihan daya kilas N Torque Distribution 11 tahap, N Drift Optimizer dengan fungsi Torque Kick Drift, serta dua mod N Race (Endurance/Sprint).

Bukan itu sahaja, Hyundai turut mendatangkan ciri N e-Shift yang mampu meniru operasi transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang terdapat pada model-model ICE Hyundai N, serta N Active Sound+ dengan tiga tema berbeza iaitu:
Ignition - bunyi seakan enjin Hyundai N 2.0 liter turbo
Evolution - bunyi RN22e
Supersonic - bunyi jet pejuang enjin berkembar

Berita Berkenaan

Berita Global
Secara teknikalnya, model konsep itu menampilkan konsep komponen-komponen prestasi N Performance…
Berita Global
Apabila menyebut tentang Hyundai, sejarah awalnya bukanlah menunjukkan imejnya sebagai sebuah…
Berita Global
Untuk itu, Hyundai N bekerjasama dengan pengeluar rim Dymag serta pakar bahan komposit Hankuk…