Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car, kereta lumba EV!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car
Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car
Kesungguhan Hyundai di dalam sukan permotoran dibuktikan sekali lagi melalui kereta lumba IONIQ 5 N eN1 Cup car.

Seperti namanya, kereta ini diasaskan dari kereta elektrik IONIQ 5 N dan menggunakan sistem elektronik kuasa (PE) sama seperti kereta produksi.

IONIQ 5 N lebih berkuasa daripada model jalanan dan begitu juga kereta lumba ini.

IONIQ 5 N eN1 Cup dilengkapi motor elektrik depan berkuasa 166 kilowatt (kW) (226 ps) dan motor belakang 282 kW (383 ps) dengan kuasa keseluruhan 650 ps
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car 2024

 

Hyundai membangunkan kereta lumba ini untuk bersaing di dalam kelas eN1 yang baru diwujudkan di dalam Hyundai N Festival.

Acara itu merupakan siri perlumbaan satu buatan (one-make race) terbesar untuk pelumba profesional di Korea.

Sama seperti Avante (Elantra) di dalam kelas N1, kelas eN1 khusus untuk pelumba profesional dan melibatkan kereta lumba yang tidak boleh dipandu di jalan awam.

e di dalam eN1 merujuk kepada elektrifikasi dan menunjukkan kesungguhan Hyundai di dalam perlumbaan mampan selain melangkah ke depan berbanding beberapa pengeluar lain.

 

Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car 2024

 

Kelas eN1 menggunakan peraturan terbuka dan pasukan boleh bersaing menggunakan pelbagai produk tayar dan tidak terhad kepada satu pengeluar sahaja.

Musim pertama eN1 akan menjadi tempoh percubaan perlumbaan EV dan perlumbaan EV pertama di dalam Hyundai N Festival.

Kereta eN1 Cup akan diuji dan ditambah baik melalui acara yang mencabar di dalam peringkat lumba Proto stage. 

Musim pertama juga merupakan peluang untuk pasukan lumba, pemandu dan marsyal mempelajari dan membangunkan perlumbaan EV.

 

Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car 2024

 

Bukan setakat kereta, perlumbaan ini melibatkan aspek lain yang sama penting memandangkan perlumbaan EV (kecuali Formula E) sangat asing di dalam dunia perlumbaan.

Di antaranya kemudahan berkaitan pengecasan, langkah-langkah tindak balas kebakaran dan kecemasan yang akan dikembangkan lagi pada musim percubaan.

Pusingan pembukaan dijadual pada 27 April dan kelas eN1 akan berlangsung sebagai sesi latihan rasmi dan diikuti sepuluh perlumbaan di dalam pusingan kelima.

Format perlumbaan akan berubah termasuk perlumbaan satu lawan satu dan kalah mati dan perlumbaan pecutan biasa bagi memahami dan menguji pelbagai kaedah perlumbaan EV.

 

 Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car

 

Sebagai kereta lumba, IONIQ 5 N eN1 Cup dilengkapi kit badan lebar dan spoiler besar yang meningkatkan lagi prestasi aerodinamik.

Kereta diringankan melalui penggunaan rim tempa, tukup plastik bertetulang kaca gentian (FRP) dan tingkap polikarbonat.

Bagaimana berlumba tanpa ekzos? Penonton disajikan bunyi N Grin Boost, tukaran gear maya N e-Shift dan N Active Sound dan setiap pasukan boleh membangunkan bunyi sendiri.

Sebagai langakah keselamatan, kereta dilengkapi rangka keselamatan, pemadam api khusus untuk kebakaran elektrik dan lokasi port pengecasan diubah.

 

 Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car

 

Spesifikasi Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup

Sistem Elektronik Kuasa (PE)

  • Motor: 650 ps (Depan 166 kW / 226 PS, belakang 282 kW / 383 PS)
  • Bateri: 84.0 kWj 
  • Penyongsang: Karbida silikon dua peringkat

Sistem pengecasan

  • 800V, 400V
  • Kelajuan pengecasan maksimum: 350 kW
  • Masa pengecasan: 10 - 80% dalam masa 18 minit (dalam keadaan optimal)

Ampaian

  • Penyerap hentak boleh laras dua hala
  • Larasan tinggi dan kamber

Brek

  • 6 omboh depan, 4 omboh belakang

Tayar dan roda

  • 18 inci jenis slick
  • 18 inci 11J

Keselamatan

  • Rangka keselamatan mengikut piawaian FIA
  • Kerusi lumba
  • Tali pinggang keledar enam sudut
  • Pemati voltan tinggi
  • Indikator amaran voltan tinggi
  • Lapisan kebakaran pengasfiksian (asphyxiation)
  • Pemindahan port pengecasan

Berat keseluruhan

  • `1,970 kg

Teknologi IONIQ 5 N

  • N e-Shift
  • N Active Sound+ (enhanced)
  • N Grin Boost
  • Prapenyesuaian Bateri N

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car 2024