Pada Mei 2023 Careta melaporkan tentang i20 yang dipertingkatkan dengan bampar dan bingkai jeriji serta beberapa perubahan lain.
Terbaru Hyundai Motor Eropah memperkenalkan i20 N Line 2024 dan sekali pandang nampak seperti model sebelum ini dan bukan dengan bampar atau bingkai jeriji baharu.
Dilihat dari dekat, model 2024 menggunakan corak jeriji yang lebih ringkas. Rim 17 inci baharu pula nampak lebih rumit berbanding sebelum ini yang juga tampil unik.
Selain perkakasan, Hyundai menawarkan empat warna baharu daripada sembilan pilihan iaitu Lumen Grey Pearl, Meta Blue Pearl, Vibrant Blue Pearl dan Lucid Lime Metallic.
Bahagian dalam tampil sporti dengan kerusi sport yang terpampang logo N dan begitu juga pada stereng N Line balutan kulit.
Jaluran merah boleh dilihat merata tempat seperti sarung tombol gear, bilah penyaman udara, stereng dan kerusi. Kereta kecil ini juga dilengkapi lampu suasana pelbagai warna.
Supaya lebih cerah, Hyundai memasang lampu LED pada lampu peta, dalaman dan pelindung matahari.
Sama seperti i20 standard, i20 N Line dilengkapi slot USB type-C, eCall generasi kedua berasaskan 4G dan kemas kini peta secara Over-the-Air (OTA).
Dari segi keselamatan, i20 N Line dilengkapi Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan (FCA) dan Bantuan Mengikut Lorong (LFA).
Teknologi lain seperti Bantuan Parkir (PA) dan Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta dijadikan pilihan.
Maklumat dan ciri-ciri terperinci akan dimaklumkan kemudian dan sebagai rujukan, i20 N Line sebelum ini digerakkan enjin 1.0 liter T-GDI 48V hybrid yang berkuasa 120 ps dan 200Nm.
Enjin itu dipadan bersama kotak Intelligent Manual Transmission (iMT).
Penulis: Muhammad Md Tajudin