Honda lancar program restorasi kilang untuk model VFR750R (RC30)

oleh Mohamad Hanif|
Honda VFR750R, atau lebih dikenali dengan kod nama RC30 merupakan motosikal pelana tunggal reraup penuh yang diproduksikan untuk tujuan homologasi WSBK oleh Honda Racing Corporation (HRC).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia didatangkan dengan enjin bentangan V4 90 darjah bersesaran 748 cc menghasilkan 75.94 kuasa kuda dan 118 Nm daya kilas untuk spesifikasi Jepun, manakala sesetengah pasaran menerima talaan 135 PS!

Sebagai sebuah jentera homologasi, motosikal ini dipasang dengan komponen perlumbaan seperti rod penyambung titanium, camshaft jenis gear-driven dan mampu mengaktifkan injap tanpa memerlukan rocker arm, dan blok dan kepala silinder daripada aloi aluminium magnesium untuk penjimatan berat. 
 


Pencapaian di dunia sebenar juga bukan calang-calang, di mana jentera ini pernah memenangi kejohanan WSBK sebanyak dua kali berturut-turut, serta meraih kejayaan di dalam perlumbaan lain seperti 8 Hours of Suzuka, Isle of Man TT, All-Japan TT-F1, serta National Superbike Championship di Australia, Austria, Canada, Perancis, Jerman, Sepanyol dan UK. 

Disebabkan teknologi yang dimuatkan, harga jualan juga agak mahal untuk sebuah jentera street-legal, iaitu sekitar  ¥1.48 juta pada ketika itu. 

Namun, walaupun dengan harga yang agak mahal, Honda telah menerima lebih 3,000 tempahan, dan untuk pasaran Jepun sahaja sudah dihadkan kepada 1,074 unit, sehinggakan proses pembelian terpaksa dilakukan menerusi cabutan undi. 

Difahamkan, ketua jurutera RC30 juga tidak bernasib baik untuk mendapatkan jentera yang beliau sendiri hasilkan. 
 


Bagi memastikan lagenda ini terus kekal dikenali oleh generasi baharu, Honda telah melancarkan program "Refresh Plan" bagi model VFR750R menerusi pembukaan Motorcycle Refresh Center yang terletak di kilang Kumamoto, Jepun. 

Namun, untuk menjalankan proses restorasi ini bukan mudah, kerana ketika awal pembikinan model ini, para jurutera RC30 mereka bentuk motosikal ini dengan menggunakan tangan, dan daripada blueprint tersebut, model tiga dimensi pula dibikin menggunakan kayu!
 


Oleh sebab itu, hampir mustahil untuk memulakan projek ini tanpa sebarang dokumentasi seperti senarai alat gantian, manual servis, atau acuan kayu yang digunakan suatu ketika dahulu tidak disimpan oleh Honda. 

Honda terpaksa mengambil ikhtiar dengan menjalankan proses imbasan tiga dimensi secara digital komponen satu persatu, sehinggakan terpaksa meminjam sebuah model RC30 daripada pekerja mereka untuk mengumpulkan data yang sepatutnya. 

Lebih menarik perhatian, untuk memastikan setiap komponen dihasilkan dengan sempurna, projek ini turut mendapat bantuan daripada jurutera veteran, pereka, dan rakan perniagaan yang pernah mempunyai pengalaman mengendalikan jentera ini. 
 


Menurut Honda, sebanyak 70 peratus daripada jentera RC30 yang terjual di Jepun masih lagi didaftarkan, dan diharap program ini mampu menarik minat para pemiliknya untuk terus mengekalkan kehadiran VFR750R untuk jangka masa yang lebih lama. 

Bagi mereka yang berminat, dan memiliki sebuah RC30 yang hendak direstorasi di Jepun, pendaftaran program RC30 Refresh Plan ini akan dibuka pada 28 Julai ini. 

Sumber: Japanese Nostalgic Car
 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti kei-car lain, N-VAN digerakkan enjin 660 cc bagi varian G, L, FUN, FUN STYLE+ NATURE …
Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…