Program kitar semula baju seragam melibatkan kerjasama di antara Honda dan pembekal baju seragam Aramark dan Cintas Corporation.
Turut terlibat pembekal bahan penebat, UGN Automotive dan syarikat kitar semula tekstil Leigh Fibers.
Baju seragam itu diambil dari pusat pengeluaran dan penyelidikan dan pembangunan Honda di Alabama, Indiana, Carolina Utara dan Ohio.
Selepas diproses, bahan itu digunakan pada lima bahagian penebat yang berbeza di dalam sembilan model Honda dan empat model Acura di Amerika Utara.
Sejak program ini dilancarkan pada penghujung 2021, lebih daripada 172,365 kilogram baju seragam dikitar semula.
Berikut proses kitar semula baju seragam kepada penebat kereta:
- Baju dibersihkan oleh pembekal pakaian seragam, Aramark di Honda Indiana dan Ohio dan Cintas Corporation di Honda Alabama dan Carolina Utara
- Selepas dibersihkan, penilaian dibuat dan sekiranya tidak rosak baju dipulangkan semula kepada pekerja
- Baju yang sesuai untuk dikitar dihantar kepada Leigh Fibers, sebuah syarikat khusus dalam pemprosesan semula dan mengadun bahan berasaskan gentian (fiber)
- Baju dicarik kepada bahan yang memenuhi gred gentian untuk dijadikan penebat. Butang dan zip dicabut terlebih dahulu
- Bahan itu diadun kepada campuran gentian dan diuji bagi memastikan bahan gentian memenuhi ukuran panjang gentian
- Gentian yang siap diproses dihantar kepada pembekal penebat, UGN Automotive
- UGN memproses gentian untuk menjadi penebat dan dihantar kembali ke kilang pengeluaran Honda
Selain fabrik, Honda juga mengitar semula 3,000 tan botol PET setiap tahun atau bersamaan enam juta botol air untuk dijadikan penyerap bunyi kenderaan.
Satu lagi yang menarik ialah batuan gunung berapi yang diproses digunakan di dalam pelapik bumbung Honda Element 2003.
Penulis: Muhammad Md Tajudin