Honda Cross Cub 110 Puco Blue, 2000 unit terhad untuk Jepun sahaja!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Cross Cub 110 Puco Blue
Honda Cross Cub 110 Puco Blue
Kenapa perlu beli motosikal kembara yang besar jika ada model saiz kecil? Tiada jawapan betul atau salah dan bergantung kepada keperluan dan citarasa masing-masing.

Namun buat mereka yang mahukan sesuatu unik dan kecil Honda ada jawapannya.

Honda Cross Cub 110 diperkenalkan pada tahun 2018 dan dibangunkan untuk mereka yang mahukan sesuatu berbeza.

Badan togel tiada fairing dan tayar pula jenis lasak, Cross Cub ini dibuat untuk mereka yang gemarkan aktiviti luar atau mengembara jauh dan dekat.

Menariknya melalui siaran media rasmi Honda memaklumkan Cross Cub ini juga sesuai untuk berulang-alik ke sekolah.

Model lama Honda Cub sudah membuktikan kemampuannya sebagai motosikal pelbagai guna, tahan lasak, mudah diselenggara termasuk dibawa merentasi benua.
Honda Cross Cub 110 Puco Blue

 

Konsep 'togel' dan lasak begini bukan baharu kerana Honda pernah mengeluarkan Trail 50 pada tahun 1961 dan berkembang kepada CT110.

Terbaru Honda menawarkan Cross Cub Puco Blue edisi terhad sebanyak 2,000 unit sahaja.

Pengguna di pasaran lain seperti Malaysia perlu menatap gambar kerana model ini tidak dijual di dalam negara.

Cross Cub 110 digerakkan enjin JA10E 109cc 4 lejang OHC satu silinder sejukan udara dengan transmisi empat kelajuan.

Konfigurasi enjin begini adalah formula Honda Cub begitu tahan lasak dan mudah diselenggara sejak puluhan tahun dulu.

Namun, sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi Cross Cub 110 menggunakan sistem suntikan elektronik PGM-FI dan turut dilengkapi lampu depan LED. 

 

Honda Cross Cub 110 2018
Honda Cross Cub 110 tahun 2018

 

Cross Cub 110 mempunyai kuasa 8 PS pada 7,500 rpm dan tork 8.5 Nm pada 5,500 rpm.

Kapasiti tangki minyak 4.3 liter manakala penggunaan minyak dengan dua penumpang ialah 61 km/L mengikut standard Jepun.

Bukan setakat enjin, brek depan belakang juga ringkas dengan jenis gelendung tanpa sistem elektronik ABS.

Fork pun ringkas dengan jenis teleskopik pada bahagian depan dan ditutupi pelindung supaya lebih terjamin apabila merentasi jalan berpasir.

Tayar depan dan belakang jenis semi block berukuran 17 inci (80 / 90-17M / C 44P) dan nampak sesuai bagi meredah jalan berlecak dan berbatu.

Berkenaan harga, Honda Cross Cub Puco Blue dijual pada 341,000 yen (tanpa insurans dan pendaftaran) atau bersamaan RM12,942.

Dengan konsep dan harga begini, okay tak jika dijual di negara kita? 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda Cross Cub 110 tahun 2018
Honda Cross Cub 110 tahun 2018
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Amalan itu sebenarnya turut dipraktikkan di negara-negara tertentu demi memastikan penawaran model…