GMC Sierra EV Denali 2024 - trak pikap elektrik premium, 754 hp, 1064 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Awal tahun yang lalu, GM telah melancarkan model trak pikap elektrik Chevrolet Silverado EV sebagai pesaing rapat kepada trak pikap popular, F-150 Lightning.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan pengenalan model kembar kepada Silverado EV iaitu Sierra EV, GMC kini mempunyai dua buah model trak pikap elektrik di dalam portfolionya.

Baca: Chevrolet Silverado EV 2024

GMC Sierra EV memiliki reka bentuk badan unibodi yang menampilkan pek bateri Ultium 800 voltan sebagai sebahagian daripada struktur asas trak tersebut.
 

unibodi


Kapasiti pek bateri Sierra EV ini tidak didedahkan, namun ia mampu membenarkan jarak operasi sejauh 644 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.

Sierra EV turut didatangkan dengan ciri Power Station Pro yang mampu menyalurkan kuasa 10.2 kW menerusi 10 outlet yang disediakan, dan boleh digunakan untuk mengecas EV lain.

Malah, dalam situasi kecemasan, Sierra EV mampu menjadi genset untuk seisi rumah sehingga 21 hari.
 

GMC


GMC Sierra EV mempunyai output maksimum 754 kuasa kuda dan daya kilas sehingga 1,064 Nm yang menyamai kuasa yang dihamburkan oleh Silverado EV RST, terima kasih kepada konfigurasi dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda.

Di dalam mod Max Power, GMC Sierra EV ini mampu mencatatkan pecutan 0-96 km/j sepantas 4.5 saat.

GMC Sierra EV turut didatangkan dengan ciri yang ada pada abangnya GMC Hummer, iaitu mod jalan ketam Crabwalk, serta sistem suspensi udara yang boleh merendah atau meninggikan jarak kelegaan tanah trak ini sebanyak dua inci.
 

frunk


Ciri Regen on Demand membolehkan pemandu menetapkan amaun brek regeneratif yang diperlukan menerusi komponen paddle shifter, manakala ciri One Pedal Driving pula membolehkan trak ini dipandu menggunakan operasi pedal pendikit sahaja, sama seperti EV yang lain.

Selain itu, trak ini mampu menunda berat sehingga 4,309 kg dan berupaya membawa muatan di belakang seberat 590 kg.

Sama seperti kembarnya, GMC Sierra EV ada membawakan ciri pintu tengah yang membolehkan ruang kargo dipanjangkan sehingga 2,743 mm, atau sehingga hampir 3,353 mm apabila pintu tailgate MultiPro dibaringkan.

Ruang trunk depan juga boleh dibuka untuk menyimpan barangan, di mana ia turut menampilkan outlet kuasa 120V serta dua saluran keluar air.
 

denali


Untuk permulaan, GMC menawarkan trim premium Denali di mana ruang kabin Sierra EV Denali ini membawakan skrin tengah orientasi potret sebesar 16.8 inci dengan integrasi Google, sistem audio Bose, skrin paparan 11.8 inci disebalik roda stereng, skrin paparan head-up berwarna, serta penampilan bahan premium termasuklah trim kayu dan aluminium.

Anda juga boleh mendapatkan ciri bumbung panorama, pad pengecasan peranti pintar nirwayar, serta tempat duduk balutan kulit berlapis dengan jahitan kontras serta sulaman perkataan Denali pada tempat perehat kepala.

Ciri pemanduan semi-autonomi Super Cruise pula membenarkan operasi pemanduan bebas tangan di atas jaringan lebuh raya sepanjang 643,738 km di Amerika Syarikat dan Kanada.
 

Denali


GMC Sierra EV Denali juga turut membawakan sistem permulaan bebas tangan, di mana pemandu hanya perlu menyimpan fob kunci di dalam poket dan terus memandu pergi tanpa perlu menekan butang pandu mula.

Kesemua ciri yang disebutkan di atas tadi hanya eksklusif untuk trim Sierra EV Denali Edition 1 dengan harga jualan bermula dari $107,000 (RM506,966).

Menjelang tahun 2025, GMC akan melancarkan trim Elevation yang akan bertindak sebagai varian aras mula (harga jualan sekitar $50,000), serta varian AT4 yang dikhususkan untuk kegunaan off-road dengan kelengkapan yang lebih agresif.

 

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Kita sedia maklum bahawa rekaan Cybertruck sememangnya sukar untuk dihadam, lebih-lebih lagi…
Gaya Hidup
Bagi merancakkan lagi rangkaian produk Cybertruck, Tesla telah memperkenalkan satu lagi varian yang…
Pelancaran
Dipertontonkan buat pertama kali pada tahun 2019, harga rasmi yang diumumkan 50 peratus lebih…