Jadi, bagaimana jika Ferrari mahu mengekalkan identiti ikonik supercar mereka dalam era kenderaan elektrik kelak?

Jawapannya ada pada pendaftaran paten yang dikesan oleh Carbuzz, di mana ia merujuk kepada 'kenderaan produksi jalanan yang dilengkapi dengan peranti penghasilan bunyi yang boleh dikaitkan dengan motor elektrik'.
Tidak seperti Iconic Sounds yang dihasilkan oleh Hans Zimmer untuk BMW, Ferrari mahukan penghasilan bunyi yang lebih sejati untuk kenderaan elektrik mereka.

Secara asasnya, Ferrari mahu mengekstrak bunyi sebenar daripada motor elektrik dan pelbagai komponen trenkuasa seperti transmisi, pembeza gelincir dan roda.
Sistem kawalan motor elektrik akan menambah satu arus yang digelar sebagai 'sonority current' pada frekuensi yang tidak akan mengganggu gugat operasi motor elektrik.
Arus bunyi ini adalah berubah-ubah, bermakna pelbagai jenis frekuensi yang harmoni mampu dicipta berdasarkan tahap kelajuan putaran motor elektrik, sebelum digandakan oleh resonator bagi menghasilkan bunyi bising trenkuasa yang tulen.

Menurut Ferrari, kereta-kereta berprestasi tinggi memerlukan sistem bunyi tersendiri yang menjadi sebahagian daripada pengalaman pemanduan yang memuaskan.
Malah dengan sistem bunyi itu tadi, ia membenarkan pemandu untuk mendapatkan maklum balas segera berdasarkan keadaan kenderaan semasa, sekaligus mendorong mereka untuk mengubah parameter tertentu untuk mencapai prestasi yang diinginkan.
Sistem yang dibangunkan oleh Ferrari ini boleh dikatakan hampir sama dengan sistem 'ekzos' Fratzonic pada Charger Daytona SRT EV Concept, di mana bunyi bising akan terhasil menerusi amplifier apabila sistem penderia mengesan perubahan dari segi kelajuan.
Sumber: CarBuzz