Pelbagai pilihan yang boleh anda cuba, asalkan sesuai dan kena dengan kedalaman poket masing-masing. Jangan sampai kena tidur luar sudah!

Bagi mereka yang mahukan keunikan tersendiri, boleh cuba dapatkan kit badan daripada Arta Mechanics, seperti yang diperlihatkan di Tokyo Auto Salon baru-baru ini.
Kit badan Vigale ini cuba untuk mengubah sebuah Toyota GR86 menjadi sebuah Ferrari mampu milik, dengan kehadiran empat lampu bulat di bahagian belakang, fender hadapan yang lebih lebar dan berliang, garis bahu yang lebih agresif sebelum diakhiri dengan spoiler ekor itik yang lebih menonjol dan diffuser yang menempatkan empat tip ekzos.

Unit lampu hadapan GR86 masih lagi dikekalkan, cuma bampar depan telah diberikan penampilan yang lebih garang berbanding unit standard.
Untuk ruang kabin pula, Arta Mechanics telah memasang set tempat duduk Bride Stradia III yang dibaluti kulit dan Alcantara.

Kit badan Vigale ini asalnya dihasilkan untuk salah seorang pelanggan mereka di Jepun, namun Arta Mechanics dilapor akan mendirikan pusat pameran bagi memudahkan pemilik GR86 melihat dan membeli kit badan ini secara rasmi kelak.