Berdasarkan gambar dan video terbaharu yang diperoleh daripada saluran Youtube 'German in Venice' dan laman Instagram bdiesel37, besar kemungkinan filem terakhir itu akan menampilkan kereta muscle berkuasa elektrik Dodge Charger Daytona SRT EV.
Model konsep itu dilihat sedang dipandu pada sebatang jalan yang ditutup untuk tujuan penggambaran, dengan menampilkan warna Greys of Thunder - warna yang sama diperlihatkan sewaktu debut kereta muscle elektrik itu beberapa bulan yang lalu.
Setakat ini, Dodge masih lagi merahsiakan butiran seperti angka kuasa kuda dan daya kilas, namun mengesahkan ia bakal mengatasi prestasi yang dihamburkan oleh enjin SRT Hellcat.

Sebuah lagi kereta konsep yang dikesan berada di set penggambaran merupakan sebuah DeLorean Alpha5 berdasarkan kelibat pintu gullwing yang terbuka di dalam keadaan gelap.
Kereta rentas masa versi moden itu diperkenalkan pada bulan Mei yang lalu, dengan unit trenkuasa elektrik yang mampu memecut sepantas 2.99 saat dari 0-96 kmsj, atau 4.35 saat dari 0-88 batu sejam (0-142 kmsj).
EV rekaan Italdesign ini dikatakan mampu mencapai jarak gerak melebihi 483 km, dibantu dengan rekaan badan aerodinamik terima kasih kepada angka pekali seretan serendah 0.23 Cd.
Baca: DeLorean Alpha5
Adakah Dodge Charger Daytona SRT EV ini satu pilihan yang tepat untuk filem terakhir dan penutup kepada francais Fast & Furious? Adakah Dominic Toretto akan kembali ke masa silam menggunakan DeLorean Alpha5 itu? (masukkan muzik suspens Dragon Ball).