Dari segi rekaan, Alpha5 kini merupakan jelmaan moden kepada model asal DMC-12, namun dengan garis badan yang jauh lebih aerodinamik, lebih sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kenderaan elektrik.
Selain itu, ia turut mengekalkan rekaan pintu bukaan gullwing yang sama seperti model asal.

Ruang kabin pula menempatkan susun atur papan pemuka yang jauh lebih moden, dimulakan dengan roda stereng tiga jejari, skrin kluster instrumen diikuti dengan skrin infotainmen tengah, balutan upholsteri putih yang jauh lebih premium dan mampu memuatkan sehingga empat orang pada satu-satu masa.
Unit pacuan DeLorean moden ini tidak lagi menggunakan nadi V6 yang lemau, sebaliknya ia telah digantikan dengan unit trenkuasa elektrik yang mampu membenarkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 2.99 saat, atau 0-88 batu sejam atau 0-142 km/j (rujukan kepada model mesin masa Back to the Future) sepantas 4.35 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

Pek bateri dengan kapasiti melebihi 100 kWh itu mampu membenarkan jarak operasi sejauh lebih 483 km, dibantu dengan kadar pekali seretan serendah 0.23 Cd, menjadikannya salah satu kereta yang paling aerodinamik di dalam pasaran.
Rekaan DeLorean Alpha5 ini dibangunkan oleh Italdesign, dengan ukuran sepanjang 4,995 mm, lebar 2,044 mm dan tinggi 1,370 mm yang jauh lebih besar berbanding model asal DMC-12.
Spesifikasi lanjut hanya akan didedahkan dalam masa terdekat.
Sumber: Drive