Namun, kenderaan elektrik masa kini adalah amat bosan dengan rekaan yang kurang memberikan impak.
Anda boleh saksikan beberapa rekaan tipikal kenderaan elektrik yang berada di pasaran ketika ini.
Namun, sebuah syarikat penalaan yang bertapak di San Diego, EV West kini menawarkan transformasi bagi mereka yang ingin mengekalkan imej kereta lama, namun dengan sistem pacuan terkini, iaitu elektrik.
Apa yang mereka lakukan ialah dengan menggunakan sistem pacuan serta pek bateri daripada Tesla dan menggabungkannya ke dalam mana-mana kereta lama dan klasik tanpa perlu mengorbankan imej asal kenderaan tersebut.
Sebagai contoh, presiden EV West, Mike Bream telah merestorasi sebuah 356 Speedster dengan jarak perjalanan yang mampu dicapai sejauh 241 km, sudah cukup untuk anda berjalan-jalan di dalam pekan selepas menghirup kopi segar.
Pakej yang ditawarkan oleh EV West termasuklah sistem brek regeneratif, dan pek bateri yang boleh ditukar selepas beberapa tahun mengikut kitaran normal sesebuah bateri.
Mungkin ramai yang menyangka pek bateri selalunya akan menjadi beban tambahan kepada kereta.
Namun tidak bagi EV West apabila mereka turut mengambil kira aspek berat kasar sesebuah kenderaan sebelum memuatkan sistem pacuan elektrik tersebut.
Bukti yang nyata ialah Porsche 912 yang ditukarkan kepad sistem EV ini mempunyai berat yang dicatatkan hanyalah seberat sebuah Porsche 911S dengan muatan tangki bahan api yang penuh.
Apa yang telah dilakukan oleh EV West ini boleh dijadikan pedoman kepada mereka di luar sana yang ingin mengekalkan kenderaan lama mereka dan pada masa yang sama tidak mahu terjejas dengan faktor harga bahan api dunia.
Mungkinkah selepas ini kita bakal melihat restorasi sebegini dengan lebih meluas pada masa akan datang? Mungkin Proton Satria Neo dengan sistem pacuan elektrik. Siapa sangka?
Sumber: Road and Track