Eropah buat apa yang Malaysia pernah lakukan - lindungi syarikat tempatan

oleh HEZERI SAMSURI|
Minggu lalu Kesatuan Eropah (EU) akhirnya mengumumkan tarif punitif atau cukai import tambahan untuk kenderaan elektrik (EV) yang diimport masuk dari China.

Ini ialah hasil siasatan 7-bulan yang dilakukan oleh EU ke atas tuduhan subsidi oleh kerajaan China terhadap sektor EV di sana, yang membantu menurunkan kos pembuatan kenderaan genre tersebut.

Siatan oleh EU itu mendapati bahawa kerajaan China sebenarnya memberikan subsidi untuk hampir kesemua aktiviti pembuatan EV, baik dari perlombongan bahan galian untuk membuat bateri EV sehingga kepada rantai bekalan komponen automotif yang terbabit.

Hasil mesyuarat EU juga meletakkan tarif cukai tambahan untuk jenama-jenama EV China, bergantung kepada jumlah "bantuan" yang diterima.

Contohnya, BYD hanya menerima tambahan cukai sebanyak 17.4 peratus sementara Geely pula sehingga 20 peratus.

Paling tinggi ialah tambahan duti sebanyak 38.1 peratus untuk SAIC kerana menurut EU, syarikat automotif dari Shanghai itu langsung tidak mahu memberi kerjasama di dalam penyiasatan tersebut.

Cukai tambahan ini ialah di atas tarif import kenderaan sebanyak 10 peratus, dan ia juga akan membabitkan jenama-jenama Eropah sendiri yang dibina bersama rakan kongsi mereka di China.

 

Volkswagen iD7 Vizzion dihasilkan di tiga kilang, satu di Jerman dan dua lagi di China di bawah FAW dan SAIC.
Volkswagen iD7 Vizzion dihasilkan di tiga kilang, satu di Jerman dan dua lagi di China di bawah FAW dan SAIC.

 

Contohnya model-model EV Volkswagen yang dibina di China bersama SAIC akan berdepan dengan duti setinggi sehingga 48.1 peratus, menyukarkan ia untuk membawa masuk model tersebut ke Eropah.

Cukai tambahan ini akan dikuatkuasakan menjelang November tahun ini, tetapi ia akan melalui proses rundingan selama empat bulan sebelum jumlah cukai itu menjadi muktamad.

Menurut kata penganalisa industri, syarikat EV yang mempunyai teknologi pemasangan sistematik dan efisien seperti BYD tidak akan melihat cukai tambahan ini sebagai satu masalah yang besar, tetapi syarikat legasi seperti SAIC dan Geely mungkin akan menyukarkan mereka untuk bersaing di Eropah.

Isu ini bermula bila kebanjiran EV dari China di dalam pasaran Eropah yang dijual dengan harga yang jauh lebih rendah.

Ia mula menimbulkan kerunsingan kepada pemain automotif dari benua tersebut kerana gagal untuk bersaing harga, dan menuduh pemberian subsidi oleh kerajaan China menjadikan harga EV dari negara itu terlalu rendah dan tidak boleh disaingi oleh pemain lain.

Demi untuk melindungi syarikat-syarikat Eropah, EU melancarkan siasatan ke atas tuduhan ketidak seimbangan harga akibat pemberian subsidi oleh kerajaan China.

Perlindungan pasaran sebenarnya ialah satu perkara yang sebelum ini ditentang hebat oleh EU, bila produk-produk Eropah menerima duti import yang lebih tinggi bila hendak masuk ke pasaran Asia contohnya.

Ia bukan hanya membabitkan produk automotif, tetapi produk-produk lain di mana EU berkata negara-negara membangun seperti Malaysia perlu membuka pasaran yang "adil" agar semua jenama boleh bersaing di pasaran global.

Namun begitu, apabila Eropah menerima tamparan pada batang hidung sendiri, mereka bertindak seperti apa yang dilakukan oleh negara-negara yang mereka tegur selama ini.

Pemberian subsidi oleh kerajaan untuk sesetengah industri bagi membolehkan ia bersaing di pasaran global bukanlah sesuatu yang baharu.

Proton contohnya, menerima bantuan dari segi insentif cukai dari kerajaan Malaysia untuk ia menembusi pasaran UK dan Eropah.

 

 

Sejarah Hyundai sebelum menjadi gergasi global.
Sejarah Hyundai sebelum menjadi gergasi global.

 

Kerajaan Korea Selatan juga memberikan insentif yang serupa untuk syarikat seperti Hyundai dan Kia untuk ia masuk ke pasaran Eropah dan US, dan selepas 10 tahun, ternyata ia berjaya.

Sama seperti Jepun juga, mereka kawal pasaran untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan di sana. Malah Thailand sendiri melindungi pasaran mereka dengan memberi keistimewaan dan insentif tambahan untuk kenderaan yang dipasang di dalam negara.

Sayangnya Proton masih gagal kerana ketika itu, ia berdepan dengan kekangan teknologi di mana enjin-enjin Proton tidak mampu melepasi syarat-syarat pelepasan karbon yang ketat yang dikenakan oleh Eropah.

Malaysia juga menggunakan syarat homologasi EU untuk melindungi pasaran tempatan dari dibanjiri oleh kenderaan-kenderaan berkualiti rendah atau stok kenderaan yang tidak laku dari masuk ke negara kita.

Sebelum itu, Malaysia memang menjadi "tempat buangan" untuk kenderaan yang berkualiti rendah. Pastinya Gen-X masih ingat bagaimana kita pernah diperkenalkan kepada motosikal-motosikal China yang berkualiti rendah.

Homologasi yang digunapakai oleh Malaysia sekarang memastikan hanya kenderaan yang menepati piawaian keselamatan kualiti terbaik akan lepas dan boleh dijual kepada kita.

Namun begitu, semua syarikat automotif sekarang sudah boleh melepasi piawaian itu, termasuk syarat-syarat yang jauh lebih ketat untuk pasaran Eropah.

Oleh kerana itu, piawaian sudah tidak lagi menjadi halangan kebanjiran EV China dan kerana itu EU terdesak untuk memperkenalkan cukai tambahan atas alasan bantuan subsidi menjadikan asas persaingan yang tidak adil bagi industri EV.

 

Proton Saga mula memasuki pasaran UK dalam bulan Mac 1989.
Proton Saga mula memasuki pasaran UK dalam bulan Mac 1989.

 

Saya kira kita tidak boleh marah dengan tindakan Eropah kerana Malaysia sendiri boleh menerima akibat yang sama, malah akan menjadi lebih rumit kerana kita hanya mempunyai dua syarikat kenderaan nasional yang besar.

Sukar untuk kita melindungi syarikat milik kita sendiri di bumi sendiri bilamasa negara yang besar seperti China masuk dengan harga rendah.

Nilai patriotik juga tidak boleh digunapakai kerana pengguna mahukan sesuatu yang berkualiti untuk wang ringgit mereka.

Adakah adil untuk Eropah bertindak sedemikian kepada syarikat-syarikat luar yang mahu masuk ke pasaran mereka?

Mungkin tidak untuk mereka yang mahu menembusi pasaran Eropah tetapi EU perlu memastikan syarikat-syarikat mereka berdiri teguh demi menjaga periuk nasi pekerja-pekerja tempatan.

Sama juga seperti Malaysia - dalam masa pembeli berseronok dengan harga-harga rendah, syarikat tempatan yang menjadi tempat bergantung kepada ratusan ribu pekerja-pekerja tempatan juga perlu dijaga.

Tindakan kerajaan untuk mewajibkan proses pemasangan tempatan atau CKD ialah salah satu cara bagi memastikan peluang pekerjaan untuk syarikat tempatan wujud kerana kita tahu negara seperti China cukup rakus dalam perniagaan.

Kita juga perlu ingat untuk menembusi pasaran China sendiri bukan mudah kerana seperti Malaysia atau negara Eropah, China sendiri melindungi pasaran tempatan mereka dengan cara kuku besi yang lebih ngeri dari Pontianak Harum Sundal Malang.

Pasaran kita, cara kita sebab bila nasi di dapur dah habis, yang membantu bukannya orang luar.

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat-syarikat yang memenuhi syarat tersebut akan layak untuk mengimport EV yang berharga US$35,…
Hezeri Samsuri
Untuk mempromosikan pelaburan automotif ke dalam negara pula, India memberikan insentif cukai dan…
Berita Domestik
Menurut laporan DagangNews, selain daripada mengimport masuk kenderaan elektrik bateri (BEV) ke…