Enjin Skyactiv-X lebih jimat berbanding Skyactiv-G, mampu catat 4.4 liter per 100 km!

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di dalam bidang matematik, atau apa jua bidang yang dipelajari, huruf X kerap kali digunakan sebagai menandakan sesuatu yang tidak pasti (unknown) untuk sesebuah permasalahan. 

Perkara yang sama juga diaplikasikan oleh Mazda apabila pengeluar yang sinonim dengan enjin rotary Wankel itu masih lagi merahsiakan data spesifikasi enjin generasi baharu Skyactiv-X ketika awal pelancaran Mazda3. 

Namun, Skyactiv-X tidak lagi menjadi sesuatu yang tidak diketahui apabila Mazda kini menerbitkan data prestasi dan angka penggunaan bahan api untuk rujukan para pengguna di Eropah baru-baru ini. 

Seperti yang kita tahu, enjin empat silinder sebaris aspirasi natural 2.0 liter ini mampu menjana 177 kuasa kuda (@6,000 rpm) dan daya kilas 228 Nm pada putaran enjin 3,000 rpm. 
 


Dan menurut data kitaran NEDC, enjin Skyactiv-X ini mampu mencapai kadar penggunaan bahan api sekitar 4.4 liter untuk setiap 100 km bagi model Mazda3 hatchback transmisi manual enam nisbah kelajuan. 

Manakala bagi Mazda3 dengan transmisi automatik pula, ia mampu mencapai angka 5.3 liter per 100 km

Ia merupakan satu peningkatan yang signifikan jika dibandingkan dengan enjin asal 2.0 liter Skyactiv-G dengan bacaan 5.2 liter/100 km (manual) dan 5.6 liter/100 km (automatik). 

Sehingga kini, Mazda hanya mensasarkan penawaran enjin Skyactiv-X ini kepada negara-negara yang mempunyai peraturan emisi yang lebih ketat seperti Eropah dan benua Amerika Utara. 

Di pasaran yang tidak memerlukan peraturan tersebut, enjin asal Skyactiv-G masih lagi ditawarkan, termasuklah enjin 1.5 liter.
 


Mengikut maklumat harga yang tertiris baru-baru ini, Malaysia dijangka bakal menerima model CBU Mazda3 dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter dan 2.0 liter dari keluarga Skyactiv-G. 

Harga jualan pula bermula dari RM137 ribu, sedikit mahal dan premium berbanding pesaing-pesaing di dalam segmen C Jepun. 

Baca: Harga jualan Mazda3 generasi baharu di Malaysia