Enam perkara yang kerap diabaikan oleh pemandu di Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Memandu di jalanraya Malaysia yang serba indah ini memerlukan lebih daripada sekadar tumpuan, memandangkan di sekeliling anda terdapat ribuan pengguna jalan raya yang berbilang perangai dan kemahuan berlumba tak kira masa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk menyenaraikan setiap satu perangai mungkin akan menjadikan artikel ini terlalu panjang, namun kami ingin mengutamakan enam perkara yang selalu ditemui oleh para pengguna ketika di jalan raya. 

 

1. Tidak menggunakan signal ketika di persimpangan/memotong


Melainkan anda sememangnya seorang yang suka permainan teka teki, sila gunakan ciri ini ketika hendak membelok ke kiri atau pun ke kanan. 

Paling tidak, anda akan disenangi di jalan raya. Percayalah. 

Kecuali kalau anda menyalakan isyarat ke kiri tetapi anda membelok ke kanan. 

Itu sememangnya mengundang hon lapan belas harkat daripada para pengguna jalan raya yang lain. 

 

2. Tidak menggunakan tali pinggang keledar ketika memandu


Ini merupakan salah satu kegemaran rakyat Malaysia, dan ia boleh dilihat menerusi forum-forum kereta baharu di mana terdapat segelintir mereka yang mengadu mereka terganggu dengan notifikasi makhluk merah itu.

Usahlah begitu, walaupun jarak pemanduan yang amat dekat, anda sebenarnya tidak akan tahu bila masa dan saatnya malang yang tidak berbau itu akan menziarah. 

Sebenarnya, ramai yang beruntung bila memandu kereta murah tanpa sebarang notifikasi tali pinggang keledar ini. 

Sekiranya anda cukup kaya, kereta mahal anda tidak akan bergerak selagi anda tidak memasang tali pinggang keledar!

 

3.  Menyalakan lampu kabus belakang ketika waktu malam


Lampu kabus belakang direka dengan sifatnya yang cukup silau untuk memudahkan orang mengesan kehadiran kenderaan anda ketika keadaan berkabus. 

Namun, di Malaysia terdapat perangai yang suka menyalakan hampir kesemua lampu ketika berada di atas jalan raya. 

Dakwanya, "untuk memudahkan orang mengesan kehadiran saya". 

Lalu, apakah gunanya lampu belakang yang disertakan pada kenderaan anda itu?

Sekiranya anda mendapati simbol rear fog lamp menyala di papan pemuka, ringankan tangan dan tutup fungsi tersebut. 

 

4. Mengubahsuai lampu brek menjadi lampu putih/ kelam/kelip-kelip

Careta faham, isu modifikasi ini merupakan kehendak peribadi, untuk menampakkan kereta mereka lebih stailo, lebih up-to-date dengan trend semasa. 

Namun, harus diingatkan bahawa pengguna lain juga adakalanya terganggu ketika melihat lampu brek yang telah diubahsuai

  • lampu putih
  • tinted menjadi semakin kelam
  • lampu kelip-kelip

Modifikasi lampu kelip-kelip tersebut sebenarnya lebih mendatangkan kebencian apabila pengguna di belakang terpaksa menghadap pesta disko mini ketika menunggu isyarat bertukar hijau. 

 

5. Tidak menyalakan lampu utama/menggunakan lampu isyarat kecemasan ketika hujan lebat


Fungsi utama lampu ketika hujan lebat adalah untuk memberitahu kehadiran anda, memandangkan terdapat beberapa warna standard kilang yang amat serupa dengan keadaan ketika dalam hujan lebat. 

Tanpa kehadiran lampu utama, sukar untuk pengguna lain mengesan kehadiran anda, terutama ketika hujan yang teramat lebat. 

Menggunakan lampu kecemasan sebagai pengganti lampu utama juga adalah tidak digalakkan sama sekali, kerana anda sebenarnya mengundang kekeliruan kepada para pengguna jalan raya.

Nasihatkan rakan anda yang mempunyai perangai ini supaya ubah, demi kesejahteraan bersama. 

Permudahkan urusan orang lain, orang lain akan permudahkan urusan anda. Percayalah. 

 

6. Tidak menyalakan lampu utama ketika waktu malam


Ini merupakan perkara kemuncak yang membuktikan ramai rakyat Malaysia yang mempunyai kuasa supermanusia, sehinggakan mereka boleh memandu pada waktu malam dengan berpandukan cahaya lampu jalan, dan tanpa sebarang bantuan cahaya lampu utama kenderaan.

Tidak ingin menyebut jenama majoriti yang selalu ditemui di atas jalan raya, cuma Careta tertanya-tanya, bagaimana dan apakah rahsia penjagaan mata yang mereka amalkan sehinggakan mereka mampu memandu tanpa sebarang lampu utama? 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan menggunakan jadual…
Berita Domestik
  "Lebuh raya ini pastinya memberi kelebihan kepada mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan…
Berita Domestik
  "JPJ Negeri Sembilan antara yang terawal melaksanakan penguatkuasaan menggunakan dron. "Kali…