Doftek hasilkan sistem penjajaran roda aktif (AWAS)

oleh Mohamad Hanif|
Masih ingatkah anda kepada sistem stereng dwi-paksi (Dual Axis Steering) yang diperlihatkan pada jentera Mercedes-AMG W11?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sistem DAS yang dibangunkan oleh Mercedes itu merupakan satu sistem khas yang membenarkan pemandu mengubah sudut toe/sudut jajaran roda relatif kepada arah garisan lurus sesebuah kenderaan.

Kelebihannya? Pengendalian yang lebih baik ketika mengambil selekoh, serta mengurangkan impak terhadap kadar kelusuhan tayar.

Sistem yang sama kini turut dibangunkan pasangan warga Australia Geoff dan Priscilla Rogers menerusi Active Wheel Alignment System (AWAS).

 


Bezanya? Jika Lewis Hamilton atau Valtteri Bottas mengubah sudut jajaran roda secara manual (menggunakan stereng), sistem AWAS ini ternyata lebih maju, di mana ia mampu diubah secara automatik!

Pada awalnya, sistem AWAS ini dibangunkan untuk kegunaan kenderaan mewah dan berprestasi tinggi, diikuti dengan kenderaan elektrik (bertujuan untuk memanjangkan jarak operasi) serta kereta autonomi.

Menurut pasangan tersebut, dengan mengubah sudut camber, toe dan caster secara elektronik ketika sedang bergerak, AWAS dikatakan mampu meningkatkan kadar pengendalian sekurang-kurangnya 15 peratus - 29 peratus (versi dipertingkat), selain mengurangkan kadar rintangan dan kelusuhan tayar sebanyak 10 peratus.

Selain daripada itu, sistem AWAS juga dikatakan mampu memperbaiki kadar kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) bagi menjadikan pemanduan yang lebih senyap.

 


Sistem AWAS ini menggunakan peranti camber jenis elektromekanikal bagi menggantikan cagak suspensi OEM, dan ia dikawal oleh ECU yang mampu mengubah sudut tetapan camber, toe dan juga caster secara manual oleh pemandu, atau secara automatik ketika pemanduan.

Menariknya, sistem ini hanya menambah 1 kg sahaja berat terhadap setiap roda, dan pengurangan kadar rintangan yang disebutkan itu tadi sememangnya memberikan impak yang besar terhadap kereta elektrik.

Setakat ini, Doftek telah menguji keberkesanan AWAS pada Audi TTRS dan Mercedes-AMG GT S, di mana versi pertama AWAS digunakan pada Audi manakala versi yang dikemaskini pula diuji pada Mercedes-AMG GT S.

Baca: Sistem Stereng Dwi-Paksi Mercedes-AMG